PUTRAJAYA: Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijangka didakwa berkaitan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Jabatan Peguam Negara membenarkan permohonan SPRM untuk meneruskan pertuduhan berkenaan.
“Persetujuan daripada pihak pendakwa raya telah kita perolehi. Saya harap tiada pembatalan terhadap perkara ini.
“Mereka akan dituduh di mahkamah esok sekiranya tiada sebarang perubahan,” katanya ketika ditemui dalam Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di sini hari ini.
Mengulas kedudukan kepimpinan JAS, Azam menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara.
Menurutnya, sudah pasti pelantikan Ketua Pengarah baharu dijangka dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kelangsungan pentadbiran jabatan itu tidak terjejas.
“Saya jangka pelantikan kepimpinan baharu akan dibuat selepas mereka dituduh di mahkamah,” jelasnya.
Sebelum ini, SPRM telah mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan e-waste.
Langkah utama yang diputuskan oleh pasukan petugas khas ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Februari lalu. – UTUSAN










