SPM: SMA Nilai muncul SABK terbaik, catat GPS 1.04

SPM: SMA Nilai muncul SABK terbaik, catat GPS 1.04

OSMAN Salleh (duduk, tengah) bergambar bersama calon SPM 2025 selepas Majlis Pengumuman dan Penyerahan Keputusan SPM 2025 di SMA Nilai di Nilai, Seremban, hari ini.-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik di peringkat kebangsaan bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Ia selepas sekolah itu memperoleh keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04 mata.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM), Osman Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan kecemerlangan berterusan sekolah berkenaan dalam pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Menurutnya, SMA Nilai merupakan antara 36 buah SABK di seluruh negara yang melaksanakan KBT serta telah menunjukkan prestasi terbaik sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Ini merupakan pencapaian pertama seumpamanya bagi sekolah SABK di Negeri Sembilan, sekali gus meletakkan SMA Nilai sebagai peneraju dalam kurikulum tersebut.

“GPS 1.04 yang direkodkan juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding 1.55 pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMA Nilai, Mohamad Noh Sujud berkata, rekod tersebut merupakan pertama kali dalam sepanjang 53 tahun penubuhan sekolah itu.

Katanya, walaupun sekolah itu tidak pernah merekodkan GPS bawah 1.50 mata sebelum ini, namun berlaku peningkatan prestasi secara konsisten selama enam tahun berturut-turut.

“Ini merupakan rekod terbaik sepanjang 53 tahun penubuhan sekolah ini. Sepanjang enam tahun juga, semua pelajar berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya, sekali gus menjadi antara kekuatan utama sekolah ini,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 19 orang pelajar sekolah itu juga memperoleh keputusan semua A serta merekodkan lulus 100 peratus.

Mohamad Noh berkata, pencapaian tersebut jauh melepasi sasaran awal sekolah iaitu sekitar GPS 1.37 hingga 1.38 malah jangkaan terbaik sebelum keputusan diumumkan hanyalah sekitar 1.22 mata.

“Saya tidak menyangka rekod sebenar diluar jangkaan kami. Bagi saya, rekod , rekod 1.04 ini menunjukkan komitmen tinggi guru serta kesungguhan pelajar,” katanya.

Katanya, kejayaan tersebut turut didorong oleh usaha berterusan warga sekolah termasuk pelaksanaan kelas tambahan yang intensif serta komitmen guru-guru yang tidak berkira masa.

“Pada masa sama, kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), semangat muafakat serta sokongan semua pemegang taruh terus diperkukuh.

“Usaha meningkatkan kecemerlangan, mengurangkan kelemahan serta mengatasi ketirisan dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan sistematik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×