Paramount Property tukar status dua pembangunan

Paramount Property tukar status dua pembangunan kepada pegangan bebas

PARAMOUNT Property majlis menandatangani hak milik strata telah diadakan pada 28 Mac di Galeri Jualan Utropolis, Batu Kawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Paramount Property melaksanakan penukaran status pembangunan kediaman Sinaran Residences dan pembangunan komersial Sinaran Avenue di Utropolis Batu Kawan, Pulau Pinang daripada pegangan pajakan kepada pegangan bebas. 

Langkah itu mengukuhkan komitmen syarikat dalam memberikan nilai jangka panjang kepada pemilik rumah dan pembeli hartanah, di samping meningkatkan daya tarikan keseluruhan pembangunan bersepadu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Paramount Property, Wang Chong Hwa berkata, walaupun pembangunan tersebut telah habis dijual, komitmen syarikat terhadap komuniti tidak terhenti di situ.

“Kami mengambil inisiatif untuk menyelaras penukaran status pegangan tanah ini dengan bekerjasama rapat bersama pemilik rumah dan pihak berkuasa berkaitan bagi memudah cara proses tersebut.

“Ini selain membantu penduduk meningkatkan nilai jangka panjang serta keselamatan pemilikan hartanah mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Penukaran yang telah menerima kelulusan pihak berkuasa negeri itu dilaksanakan dengan penyertaan pemilik rumah yang memilih untuk menaik taraf status pegangan. 

Susulan penukaran tersebut, hak milik strata pegangan bebas telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada 964 pembeli Sinaran Residences dan 16 pembeli Sinaran Avenue. 

Pencapaian itu mencerminkan komitmen Paramount Property dalam menambah nilai kepada pemilik hartanah, seiring pengembangan kehadirannya di Pulau Pinang.

Menurut beliau, langkah itu turut memperkukuh kepastian pemilikan dengan menghapuskan kebimbangan mengenai tempoh pajakan, selain meningkatkan kualiti keseluruhan dan daya tarikan pasaran jangka panjang hartanah berkenaan.

“Sebagai ‘The People’s Developer’, kami kekal komited untuk mencipta nilai berkekalan kepada pelanggan, walaupun selepas projek siap sepenuhnya,” ujarnya.

Paramount Property turut memudah cara pelaksanaan memorandum pindah milik serta dokumen berkaitan sebagai sebahagian daripada proses penyempurnaan pindah milik bagi hak milik strata individu pegangan bebas. 

Proses tersebut dijalankan selama dua hujung minggu, iaitu pada 20 hingga 21 Mac dan 28 hingga 29 Mac 2026, dengan kehadiran seramai 322 pembeli. 

Bagi memperingati detik tersebut, satu majlis menandatangani hak milik strata telah diadakan pada 28 Mac di Galeri Jualan Utropolis, Batu Kawan.

Naik taraf status pegangan berkenaan dijangka terus mengukuhkan kedudukan pembangunan tersebut dalam kawasan berpotensi tinggi.

Terletak strategik di koridor Batu Kawan yang pesat berkembang, Sinaran Residences dan Sinaran Avenue turut mendapat manfaat daripada kedekatan dengan infrastruktur utama serta pemacu ekonomi seperti Taman Perindustrian Batu Kawan dan Jambatan Kedua Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×