PETALING JAYA: Polis masih mengesan ibu kepada bayi yang ditemukan dalam tong sampah di hadapan sebuah kediaman di Taman Putra di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata suspek yang juga ibu bayi masih dikesan pihak polis.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang bayi perempuan masih bertali pusat ditemui berbungkus plastik hitam di dalam tong sampah.
Khairul Anuar dilapor berkata, mangsa dianggarkan baru dilahirkan kira-kira empat jam ketika ditemui berdasarkan keadaan bayi berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas bayi berkenaan.- UTUSAN










