PETALING JAYA: Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin tekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Peter Cklamovski jika dia diturunkan bagi menghadapi Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027, 31 Mac ini.
Ini merupakan kali kedua pemain berusia 24 tahun itu dipanggil jurulatih Harimau Malaya, Cklamovski selepas kali pertama Luqman menggantikan Jordan Mintah yang menarik diri akibat masalah kesihatan November lalu.
Menurut Luqman, panggilan kali ini dianggap penting buat dirinya untuk mendapatkan semula keyakinan serta membuktikan kemampuan dirinya kepada Cklamovski agar dia menjadi pilihan utama bagi panggilan seterusnya.
“Syukur alhamdulillah sebab ini kali kedua saya dipanggil oleh jurulatih Peter. Bagi saya, keyakinan yang ada pada diri saya sekarang mungkin ia hadir daripada rakan sepasukan.
“Semestinya aksi menentang Vietnam nanti dapat bangkitkan semula keyakinan dan semangat saya. Daripada perlawanan ini juga saya dapat membuktikan apa yang ada pada diri saya kepada jurulatih,” katanya.
Luqman turut mengakui minit permainan yang mencukupi bersama Negeri Sembilan FC dalam saingan liga musim ini membolehkan dirinya mencapai prestasi terbaiknya apabila berjaya meledak enam gol.
“Alhamdulillah, saya mendapat sokongan daripada ketua jurulatih dan rakan sepasukan untuk dapatkan semula keyakinan dan minit permainan ini amat penting, daripada situ saya dapat keyakinan dan berada di tahap yang lebih baik.
“Sasaran peribadi saya untuk perlawanan menentang Vietnam ini sudah tentu kami semua mahukan kemenangan,” katanya.
Vietnam sudah pun layak ke pusingan akhir Piala Asia dengan 15 mata manakala Malaysia dipotong enam mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berikutan menurunkan pemain tidak layak ketika bertemu Nepal dan Vietnam. – UTUSAN










