Sentimen perkauman ancam keamanan sosial

Sentimen perkauman ancam keamanan sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MESKIPUN pandangan kita berbeda, kita masih bisa bertetangga secara jujur. Kerana pada pendirian kami, agama itu tidak bisa dipaksakan. Agama adalah soal petunjuk dan hidayah Ilahi.” – Buya Hamka.

Isu berbangkit melibatkan toleransi antara agama dan kaum menunjukkan sisi gelap yang selalu diendahkan dalam masyarakat.

Lebih menyedihkan lagi, tanpa kemahuan politik yang jitu, isu ini sudah dilihat sebagai permasalahan yang sering dianggap tekal dan malar tanpa penyelesaian tuntas.

Mungkin kerana ramai politikus yang mendapat manfaat apabila sentimen perkauman dan keagamaan dijadikan modal politik ampuh mereka.

Hasilnya, saban tahun dalam bulan perayaan, akan timbul komentar berbaur perkauman yang menidakkan kebersamaan masyarakat rencam di Malaysia.

Tahun ini juga tidak terkecuali walaupun hakikatnya perayaan Aidilfitri disambut begitu dekat dengan Tahun Baru Cina.

Daripada insiden pergaduhan akibat kuil yang dibina secara tidak sah, hinggalah kepada drama pemain-pemain utama konflik ini dikatakan melarikan diri ke negara jiran. Isu ini didalangi tangan halus yang gembira melihat rakyat berbeza kaum dan agama dipisah, disisih serta diasing-asingkan.

Ini bagi memastikan rakyat tidak sedar wujudnya permainan politik yang lebih dahsyat menindas marhaen yang diulit perbalahan ini.

Setelah hampir 70 tahun Malaysia merdeka dan ditubuhkan, sangat menyedihkan apabila rakyat masih merasa ada jurang kaum antara kita mahupun mereka.

Dalam jurang yang dalam ini pula didirikan tembok pemisah yang utuh antara Melayu, India, Cina dan ras lain-lain, sehinggakan rasa hormat kini semakin menipis lalu digantikan keberanian untuk saling memaki atau membenci.

Bahkan, ada juga yang tidak bertindak jelas membenci tetapi dengan biadab mencemar kesucian agama kaum lain.

Sudah tentu insiden yang paling menggoncang tanah air melibatkan pasangan berkelakuan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina pada ketika terik siang hari tidak boleh menyembunyikan kelakuan sumbang mereka. Adakah insiden ini bukti pelaku berani melanggar undang-undang atau tegar mencemari norma adab, sopan dan susila masyarakat?

Sudah tentu apa yang berlaku membuatkan orang ramai juga tertanya, apakah tiada langsung rasa hormat kepada tempat-tempat yang dianggap sakral kepada kaum lain?

Mungkin nanti pegawai penyiasat boleh bertanyakan kepada pasangan yang sudah direman serta kini disiasat di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran orang lain dengan melakukan perbuatan lucah di tempat awam dan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dengan menunjukkan benda bagi maksud mengganggu kesantunannya.

Saya pelik mengapa kes ini tidak disiasat secara bersama dengan Seksyen 296 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan gangguan kepada mana-mana perhimpunan yang sedang menjalankan upacara agama atau Seksyen 297 bagi kesalahan melukakan perasaan atau mengaibkan agama seseorang dengan menceroboh di tempat perkuburan yang dikhaskan, atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan perbuatan yang melukakan sentimen keagamaan seseorang.

Saya secara peribadi merasakan pihak berkuasa perlu menjadikan insiden ini sebagai contoh tegas.

Siasatan, yang boleh membawa kepada pertuduhan dan akhirnya sabitan, di bawah Bab 14 Kanun Keseksaan bakal menjadi isyarat jelas kepada orang awam bahawa tindakan melibatkan kesalahan-kesalahan mengenai kesihatan, keselamatan, kemudahan, kesopanan serta akhlak awam tidak dianggap ringan di bawah sistem perundangan negara.

Masyarakat tidak harus dibuai dengan rasa selesa untuk terus-menerus mencambahkan prejudis kepada kaum lain dan menyemarakkan sentimen kebencian perkauman.

Lihat sahaja bagaimana netizen begitu bebas memberikan komen perkauman. Walaupun begitu banyak kes-kes yang disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun tidak menjadi pengajaran atau penghalang orang ramai untuk terus membangkitkan rasa rasis di khalayak ramai.

Sebetulnya kerajaan mempunyai tanggungjawab besar yang diamanahkan melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan toleransi antara kaum dan agama dipelihara dengan baik.

Sebagai contoh, di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa besar kepada Parlimen untuk mengadakan undang-undang bagi mengelakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan.
Kuasa besar ini melangkaui sebarang perlindungan terhadap kebebasan asasi di bawah Bahagian 2.

Adakah tanggungjawab ini terlaksana saat negara masih bergelumang dengan anasir kebencian setelah hampir 70 tahun negara yang ditubuhkan bebas merdeka?

 

KERAJAAN bertanggungjawab menegakkan undang-undang dan memastikan masyarakat hidup bertoleransi, saling menghormati selain tidak mudah dipengaruhi sentimen kebencian.

 

TANGGUNGJAWAB KERAJAAN

Kegagalan kerajaan membasmi rasisme bukan isu kecil yang boleh dipandang enteng. Sikap pasif kerajaan sehingga ada golongan terasa tertindas tanpa pembelaan munasabah menunjukkan kegagalan sistemik yang kita wariskan kepada generasi hadapan.

Dalam pada dunia semakin bergolak, negara tidak boleh digoncang sentimen kebencian yang meranapkan kepercayaan antara kita dan mereka. Maka, bertetanggalah dengan jujur dan saling menghormati agar kita tidak mudah goyah dibuai perasaan yang merugikan sesama kaum di Malaysia. -UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×