PETALING JAYA: Lebuhraya Pantai Barat (WCE) mencatatkan lonjakan 50 peratus pengguna sempena sambutan Aidilfitri dan cuti persekolahan.
Pada hari biasa, laluan WCE hanya merekodkan 100,000 hingga 120,000 kenderaan sehari, namun kini ia mula menunjukkan trend peningkatan drastik dengan unjran pada hari puncak melepasi angka 180,000 kenderaan sehari.
Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, meskipun jumlah kenderaan meningkat, aliran trafik di sepanjang jajaran tersebut setakat ini masih berada pada tahap ‘hijau’ atau lancar.
“Kelebihan jajaran pesisir pantai ini adalah laluannya yang lebih landai dan kurang berbukit, sekali gus menawarkan pemanduan yang lebih efisien dan pantas buat pengguna.
“Melihat kepada trend Tahun Baru Cina lepas, kami menjangkakan peningkatan penggunaan harian sehingga 50 peratus sepanjang tempoh kepulangan raya ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syed Muhd. Naguib, laluan strategik itu kini diiktiraf sebagai alternatif paling ampuh buat pengguna dari utara ke selatan serta penduduk pesisir pantai Lembah Klang bagi mengelakkan kesesakan melampau di lebuh raya utama yang lain.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan Seksyen 3 dan 7 di Selangor masih lagi dalam fasa pembinaan dan dijadualkan dibuka tahun ini, manakala jangkaan siap sepenuhnya adalah pada Mac tahun depan.
Bagi Seksyen 4 pula, ia dijangka dibuka tahun ini dengan penyediaan pusingan-U (U-turn) sementara sebelum sambungan Seksyen 3 siap sepenuhnya.
Sehubungan itu, Syed Muhd. Naguib turut mengingatkan para pemandu agar tidak mengabaikan aspek keselamatan dan merancang perjalanan dengan lebih teliti terutama ketika musim perayaan.
“Pengguna boleh menggunakan aplikasi WCE untuk mendapatkan status trafik semasa dan elakkan memulakan perjalanan pada waktu puncak iaitu antara lewat petang hingga malam.
“Bagi pemilik kenderaan elektrik (EV), kemudahan pengecas pantas (superchargers) juga disediakan di empat lokasi strategik iaitu Assam Jawa dan SAE di Selangor serta Taiping Selatan dan Trong di Perak,” katanya. – UTUSAN











