Cuti sekolah, Aidiladha lonjak kedatangan pelancong

Cuti sekolah, Aidiladha lonjak kedatangan pelancong

ORANG ramai menaiki bot di Jeti Merang, Setiu, untuk bercuti ke Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU : Suasana meriah musim cuti persekolahan yang bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini membawa limpahan rezeki kepada pengusaha sektor pelancongan di daerah ini apabila kedatangan pelancong meningkat sehingga 80 peratus berbanding kebiasaan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Merang, Setiu, Azhar Che Razak, 34, berkata, kehadiran pengunjung dari pelbagai negeri yang mengambil peluang pulang ke kampung sambil bercuti bersama keluarga menyebabkan kawasan pulau serta lokasi penginapan di sekitar daerah ini mula dipenuhi pelancong sejak Jumaat lalu.

Katanya, sambutan ke Pulau Redang pada bulan ini luar biasa berbanding bulan sebelumnya apabila jumlah kedatangan pelancong meningkat mendadak.

“Kalau ikut bulan lepas, kedatangan pelancong sekitar 20 peratus sahaja namun kali ini meningkat sehingga 80 peratus berikutan musim cuti sekolah dan sambutan Aidiladha.

“Tempahan juga diterima lebih awal iaitu sebulan sebelum cuti apabila orang ramai sudah merancang untuk bercuti di Terengganu bersama keluarga ketika pulang ke kampung halaman bagi melaksanakan ibadah korban,” katanya ketika ditemui di Jeti Merang di sini.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus membuka pintu rezeki kepada pengusaha pelancongan yang sebelum ini agak sepi tanpa kehadiran pengunjung.

Bagaimanapun, Azhar berkata pihaknya bersyukur kerana pengunjung memahami kenaikan harga pakej pelancongan susulan peningkatan kos operasi termasuk bahan bakar.

Katanya, harga pakej trip harian yang sebelum ini RM100 seorang kini meningkat kepada RM120 seorang.

“Alhamdulillah walaupun harga meningkat, pengunjung masih memberikan sokongan kerana mereka faham pengusaha pelancongan di sini turut berdepan peningkatan kos terutama harga minyak. Tambahan pula kami tidak menerima subsidi minyak sebagaimana beberapa industri lain,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Khairil Jamaluddin, 34, berkata, dia bersama keluarganya mengambil peluang bercuti di Terengganu bagi meluangkan masa bersama anak-anak selain berehat daripada kesibukan kerja di ibu kota.

Katanya, perancangan bercuti ke Pulau Redang sudah lama dibuat namun kekangan kerja dan jadual persekolahan anak-anak menyebabkan hasrat itu tertangguh sebelum ini.

“Kebetulan tahun ini kami pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman di Besut, jadi saya ambil peluang membawa anak-anak menikmati keindahan alam dan suasana pulau di Terengganu. Anak-anak memang teruja kerana ini kali pertama mereka bercuti ke Pulau Redang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN