Empangan Timah Tasoh makin susut

Empangan Timah Tasoh makin susut

CUACA panas melampau yang terus berlarutan menyaksikan Empangan Timah Tasoh mula mengalami penyusutan ketara di Padang Besar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Cuaca panas melampau yang berterusan di negeri ini mula memberi kesan serius apabila Empangan Timah Tasoh, yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir, mengalami penyusutan paras air yang ketara.

Susulan suhu tinggi yang mencecah antara 38 hingga 40 darjah Celsius sejak kebelakangan ini menyaksikan empangan tersebut ketika ini berada pada paras amaran iaitu 26.76 meter, hampir melepasi paras kritikal, 26 meter.

Peratusan simpanan semasa pula kini tinggal 38.10 peratus berbanding awal Januari lalu, 100 peratus iaitu penurunan lebih 60 peratus hanya dalam tempoh tiga bulan.

Keadaan panas melampau itu turut menjejaskan ekosistem apabila ribuan ikan air tawar di kawasan sangkar santuari dilaporkan terancam berikutan paras air yang semakin surut dan kolam yang mula kering.

Situasi tersebut turut menggusarkan pesawah yang berdepan kesukaran untuk memulakan musim penanaman baharu apabila kebanyakan kawasan sawah kini kering-kontang.

Timbalan Pengerusi Nelayan Darat kawasan itu, Abdul Azhar Abdul Aziz, 38, berkata, musim kemarau tahun ini bermula lebih awal dengan paras air empangan menyusut mendadak sehingga kira-kira 60 meter berbanding tahun lalu.

Katanya, penyusutan itu dijangka berterusan sehingga Ogos, dengan keadaan dijangka semakin kritikal menjelang April atau Mei apabila kawasan empangan berkemungkinan timbul sepenuhnya.

“Sekarang ini baru permulaan fasa pertama. Dalam masa dua bulan lagi, keadaan pasti menjadi semakin teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Azhar berkata, penyusutan air yang berterusan itu akan mengundang bencana kepada ekosistem di sangkar santuari tersebut dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan darat.

“Jika air terus surut sampai tahap bot pun tidak boleh masuk, rumput yang tebal akan mula tumbuh di dasar.

“Apabila itu berlaku, kuali­ti air akan bertukar menjadi masam (berasid) dan ini boleh menyebabkan ikan-ikan di sini mati,” katanya.

Dalam masa sama, perkampungan lama yang sebelum ini tenggelam di dasar Tasik Timah Tasoh di sini mula timbul akibat penyusutan air.

SANTUARI ikan yang tawar yang kering-kontang menyaksikan ribuan ikan mati di Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Sementara itu, Pengarah Bomba negeri, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya turut berdepan pelbagai cabaran atau kekangan dalam usaha mengawal kebakaran hutan tersebut, antaranya berhubung masalah akses ke lokasi kejadian yang sempit serta sumber air terhad di situ.

“Kebanyakan lokasi kebakaran terletak di kawasan bukit tiada laluan masuk. Antara cabaran lain, anggota perlu ke lokasi kejadian kebakaran hutan di beberapa lokasi yang berlaku serentak.

“Jadi, kita memerlukan koordinasi operasi yang teliti dalam aspek kerahan jentera dan pasukan untuk kes lokasi kejadian dan juga kes-kes lain berdasarkan keutamaan di Pusat Gerakan Operasi negeri,” katanya.

Sementara itu, kawasan Chuping yang merupakan titik terpanas di Malaysia antara paling terjejas dengan antaranya menyaksikan kawasan sawah di situ mula kering-kontang.

Bagaimanapun, situasi tersebut membawa rezeki berganda buat peniaga air balang, Mohd Farhan Zulkifley, 25, apabila jualannya terus meningkat berbanding pada hari-hari biasa.

“Musim panas ini sememangnya ramai yang berhenti beli air untuk basahkan tekak. Tidak sampai petang air sudah habis. Cuaca panas ini bermula lepas banjir pada Disember lalu dan sampailah sekarang panas,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan anak-anak bermain di luar bagi mengelakkan risiko strok haba.

Suri rumah, Fazlina Ismail, 40, berkata, pada masa ini, ziarah sempena Aidilfitri juga dihadkan pada waktu petang dan malam sahaja.

“Ketika ini berada di dalam rumah sekali pun, bahang panas masih terasa. Saya juga mela­rang anak-anak bermain di luar rumah selain menggalakkan lebih kerap minum air masak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×