KDN sasar Malaysia negara ke-9 paling aman

KDN sasar Malaysia negara ke-9 paling aman

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan Malaysia mencapai kedudukan kesembilan dalam Indeks Keamanan Global (Global Peace Index) menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, indeks ini menjadi rujukan penting terutamanya bagi pelabur kerana tiada pelabur mahu menanam modal besar tanpa jaminan keamanan.

“Sempena Hari Polis ke-219, kerajaan menegaskan tekadnya untuk mempertahankan kedudukan semasa dengan sasaran itu dicapai dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, pencapaian semasa Malaysia dalam indeks tersebut pada tahun 2025 menunjukkan negara berada di tangga ke-13 daripada 165 negara.

Dalam konteks Asia Pasifik, Malaysia termasuk antara tiga negara paling aman selepas Singapura dan New Zealand, serta menduduki tempat kedua dalam ASEAN selepas Singapura.

“Pencapaian ini bukan datang bergolek dan bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan strategik ‘by design’ melalui dasar keselamatan negara yang jelas. 

Pihak polis sebagai agensi penguatkuasa undang-undang terbesar negara akan terus melakukan apa sahaja bagi memastikan keamanan dalam negara ini kekal,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata,kadar jenayah indeks negara mencatatkan penurunan sebanyak 6.4 peratus.

Kejayaan tersebut turut didorong oleh peningkatan hampir 9,000 operasi keselamatan di kawasan sempadan serta di seluruh negara.

“Pencapaian itu mencerminkan hasil usaha bersepadu agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Walaupun terdapat beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan sepanjang tempoh Mac 2025 hingga Mac 2026, tahap keselamatan negara secara keseluruhannya masih berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya dalam ucapannya.

Dalam pada itu, Mohd. Khalid mengakui cabaran semasa menuntut pasukan berkenaan untuk terus melakukan perubahan dan penyesuaian bagi kekal relevan sebagai agensi penguatkuasaan utama negara.

Tegasnya, segala kritikan dan persepsi negatif masyarakat tidak akan menjejaskan komitmen pasukan dalam menegakkan keadilan berteraskan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN