PETALING JAYA: Pembangkang didakwa terlalu lemah dan gagal memanfaatkan pelbagai isu semasa untuk menyerlahkan peranan mereka kepada rakyat.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan global, krisis tenaga serta pelbagai skandal rasuah, situasi itu sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk pembangkang tampil lebih berwibawa dan berkesan.
“Dan kita sememangnya mempunyai pembangkang yang paling tidak berguna ketika ini. Dalam keadaan ketidaktentuan global, krisis tenaga dan skandal rasuah, sepatutnya inilah pentas terbaik untuk anda menyerlah. Namun, anda terlalu lemah dan tidak kompeten.
“Mengharapkan kemenangan secara ‘default’ bukanlah satu strategi yang mampu meyakinkan rakyat,” katanya menerusi Instagram hari ini.
Kenyataan Khairy itu merupakan maklum balas pertamanya selepas beliau menyerahkan permohonan untuk menyertai semula UMNO selepas dipecat, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang dilihat tidak menunjukkan pendirian jelas terhadap isu-isu penting walaupun memiliki latar belakang profesional.
“Mengaku sebagai jurutera aeronautik, tetapi langsung tiada pendirian terhadap sebarang isu penting. Kedua-dua pihak dalam kancah politik ini kelihatan amat tidak profesional,” katanya. – UTUSAN









