JELI: Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) malam tadi membincangkan mengenai perkembangan isu semasa dan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pertemuan itu adalah sebahagian daripada siri pertemuan berkala yang sering diadakan di antara kepemimpinan kerajaan dan komponen parti.
Katanya, pertemuan serupa turut diadakan bersama pimpinan komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pertemuan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen BN serta Pengerusi -Pengerusi Perhubungan UMNO malam tadi adalah pertemuan yang sering kali diadakan bagi mengikuti perkembangan semasa memandangkan BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Pertemuan ini bukan bersifat khusus, sebaliknya membincangkan pelbagai perkara merangkumi dasar kerajaan, isu semasa serta cadangan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli 2025 di Kompleks UMNO Bahagian Jeli,Bukit Nangka, di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai milik menteri dan ahli parlimen daripada BN dilaporkan memasuki pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi. – UTUSAN










