PETALING JAYA: Syarikat teknologi runcit tempatan, Xilnex Holdings Sdn. Bhd. (Xilnex) menyasarkan pertumbuhan hasil sebanyak 40 peratus dan peningkatan tenaga kerja sebanyak 25 peratus bagi tahun 2026.
Langkah itu selari dengan fasa pengembangan serantau syarikat yang menyaksikan perpindahan ibu pejabat ke fasiliti lebih besar di Pulau Pinang.
Hab baharu ini akan berfungsi sebagai pusat utama bagi kejuruteraan perisian, kejayaan pelanggan serta perkhidmatan analitik untuk pasaran Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Xilnex, Ooi Boon Sheng berkata, sektor runcit dan makanan dan minuman (F&B) di rantau ini sedang melalui peralihan teknologi besar-besaran daripada sistem titik jualan (POS) berasaskan awan kepada analitik dipacu kecerdasan buatan (AI).
“Perniagaan kini mencari cara yang lebih pintar untuk mengurus operasi dan berkembang dengan cekap. Kami yakin permintaan terhadap teknologi runcit dan analitik akan terus meningkat pada 2026 dan tahun-tahun seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, Xilnex sedang giat merekrut bakat dalam pelbagai fungsi termasuk analitik data, kejuruteraan perisian dan pembangunan perniagaan serantau.
Syarikat itu kini telah mempunyai jejak kukuh di Filipina, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan jenama, Xilnex bakal mempamerkan penyelesaian teknologi mereka di acara perdagangan utama, Food & Hospitality Asia (FHA) 2026 di Singapura pada April depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Xilnex turut melabur dalam pembangunan modal insan industri melalui pelancaran siri bengkel analitik yang boleh dituntut di bawah HRDF bermula Mei 2026.
“Program ini bertujuan membantu pengusaha F&B dan peruncit mentafsir data operasi dengan lebih berkesan.
“Penggunaan teknologi hanyalah langkah pertama. Perniagaan juga memerlukan kemahiran untuk menukar data kepada keputusan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan keuntungan,” tambahnya.
Sejak ditubuhkan pada 2007, Xilnex telah menyokong jenama-jenama besar seperti Marrybrown, Empire Sushi, Tealive, F.O.S, Alpro Pharmacy dan Eco-Shop. Di Filipina, lebih 300 jenama runcit telah menggunakan sistem POS keluaran syarikat Malaysia ini. – UTUSAN










