Arif Aiman kembali gegar Liga M  

Arif Aiman kembali gegar Liga M  

Arif Aiman Hanapi memberi bayangan akan kembali ke kancah bola sepak dalam masa terdekat selepas berehat lama akibat kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerinduan peminat bola sepak tempatan terhadap aksi lincah pemain bintang Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi dijangka berakhir bulan depan.

Ini selepas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberi bayangan akan kembali beraksi dalam masa terdekat selepas berehat panjang ekoran kecederaan.

Arif Aiman tidak beraksi sejak November tahun lalu susulan kecederaan ketika bersama pasukan kebangsaan menentang Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027.

Susulan kecederaan itu, pemain berusia 24 tahun itu berehat selama tiga bulan selepas menjalani pembedahan di Finland dan terlepas aksi penting bersama Harimau Selatan.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia ini memberi bayangan bahawa kelibatnya di atas padang boleh dijangka seawal bulan April ini.

Beliau juga meminta agar para peminat bersabar menanti kepulangannya yang memberikan kelebihan buat kelab dan pasukan kebangsaan.

“InsyaAllah April (kembali beraksi), sabar ya semua,” ujarnya dalam hantaran di media sosial.

Perkhabaran itu pasti memberi berita gembira buat pengendali JDT, Xisco Munoz menjelang separuh akhir Piala Malaysia menentang KL City FC pada 3 April ini.

Selain itu, Harimau Selatan turut mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) serta melakar sejarah ke suku suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan mereka bertekad berusaha sebaik mungkin untuk memburu kejuaraan di kejohanan berkenaan.

“Kita sudah menjadi juara (Liga Super) tetapi kami mempunyai matlamat besar, kami mahu berusaha untuk tidak kehilangan mata dalam liga, dan itu adalah perkara penting bagi kami.

“Kami perlu fokus kerana selepas ini kami akan beraksi di separuh akhir ACC, separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir ACLE.

“Kami perlu bekerja keras serta memberi yang terbaik untuk diri sendiri dalam setiap kejohanan. Kami perlu terus fokus, terus mempunyai cita-cita besar dengan karakter dan semangat yang sama,” kata Munoz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×