Hakim Danish tempah petak ketiga GP Brazil

Hakim Danish tempah petak ketiga GP Brazil

Hakim Danish (tengah) beraksi cemerlang pada sesi kelayakan 2 GP Brazil yang merupakan perlumbaan pusingan kedua bagi musim 2026 di Litar Antarabangsa Ayrton Senna, Brazil, awal pagi tadi. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hakim Danish Ramli melakar kejutan apabila mencatat masa ketiga terpantas berada di barisan hadapan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Brazil di Litar Antarabangsa Ayrton Senna pada pukul 11 malam ini.

Dalam sesi kelayakan 2 (Q2), awal pagi tadi (4 pagi waktu Malaysia), Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi Racing itu mencipta masa sepusingan 1 minit 26.448 saat (s) untuk meletakkannya di kedudukan ketiga.

Pelumba Sepanyol, Joel Esteban mencatat masa terpantas 1:26.241s manakala Valentine Perrone dari Argentina di kedudukan kedua dengan catatan hanya 0.001s lebih laju berbanding Hakim Danish iaitu dengan lakaran masa 1:26.447s.

Hakim Danish melahirkan rasa gembira kerana berjaya menduduki tempat ketiga dalam sesi kelayakan dan ia merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini sejak bergelar pelumba tetap dalam kelas Moto3, musim ini.

“Walaupun saya terjatuh di selekoh keenam semasa sesi kelayakan tadi, saya segera bangkit untuk membawa semula jentera ke litar bagi mendapatkan catatan masa terbaik.

“Apapun, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan mekanik yang bertindak pantas membaiki jentera saya sehingga berupaya menyambung semula tunggangan tanpa sebarang masalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, ketika sesi kelayakan dia tidak memikir perkara lain dan hanya mahu memburu petak terbaik.

“Pada pusingan terakhir sesi kelayakan tersebut, saya berasa sangat serasi dengan prestasi jentera saya.

“Saya tidak akan berhenti di sini dan akan terus memberikan saingan sengit pada perlumbaan sebenar nanti. Mohon doakan kejayaan saya untuk perlumbaan malam ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×