BUKIT MERTAJAM : Ribuan kenderaan khususnya yang menghala ke utara sempena cuti hari raya Aidilfitri kali ini dilihat mula memenuhi kawasan lebuh raya di sini sejak awal pagi tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, trafik juga mula bergerak perlahan khususnya ketika memasuki Plaza Tol Juru sehingga ke Plaza Tol Sungai Dua di sini.
Seorang pengguna lebuh raya, Shaarani Shariff, 42, berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya bertolak dari Kuala Lumpur selepas menunaikan solat Subuh awal pagi tadi dan memilih untuk berhenti di hentian rehat Juru sebelum meneruskan perjalanan ke Sungai Petani, Kedah.
“Kereta banyak, tapi tak sesak teruklah. Cuma di beberapa kawasan seperti Terowong Menora dan Bukit Merah, kenderaan bergerak perlahan,” katanya yang memberitahu, ramai memilih untuk pulang awal kerana khuatir akan berlaku raya mengejut sekali lagi tahun ini.
Bagi Mohd. Daud Sulaiman, 32, pula, perjalanan dari Jawi ke Sungai Dua yang kebiasaannya mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum ini, bagaimanapun menjadi lebih sejam disebabkan pertambahan jumlah pengguna kenderaan di atas lebuh raya.
“Musim cuti macam ini, biasalah. Kena hadapi dengan sabar dan tenang,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail menjangkakan kira-kira 1.5 juta kenderaan akan memasuki negeri ini dalam tempoh enam hari bermula hari ini sehingga 24 Mac.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding sekitar 1.2 juta kenderaan yang direkodkan sepanjang 2024 serta 1.35 juta kenderaan yang memasuki negeri ketika perayaan yang sama, tahun lepas.
Tambahnya, bagi memastikan kelancaran trafik, seramai 380 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) ditugaskan secara berterusan sepanjang operasi itu dengan kerjasama pelbagai agensi lain termasuk pengendali lebuh raya iaitu PLUS Malaysia Berhad (PLUS). – UTUSAN










