Mudir sekolah tahfiz tidak mengaku 'sentuh' murid lelaki pada bulan Ramadan

Mudir sekolah tahfiz tidak mengaku ‘sentuh’ murid lelaki pada bulan Ramadan

TERTUDUH (tengah) semasa dibawa oleh polis menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang mudir di sebuah sekolah tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid lelakinya berusia sembilan tahun selama tiga hari berturut-turut pada malam pertengahan bulan Ramadan, kira-kira dua minggu lalu.

Mohd. Razali Ab. Ghani, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual melibatkan kontak fizikal bagi maksud seksual tanpa persetubuhan terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berusia sembilan tahun tiga bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam asrama dan bilik pejabat sekolah agama tahfiz, anak yatim dan miskin di dalam daerah ini, kira-kira pukul 11 malam pada 4, 5 dan 6 Mac lalu.

Mohd. Razali didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi tertuduh dengan seorang penjamin

Mahkamah turut menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×