PADA 2 Mac lalu, negara menyaksikan usaha reformasi institusi apabila cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dibentangkan di Dewan Rakyat.
Namun, cadangan itu gagal diluluskan pada bacaan kedua apabila hanya memperoleh 146 undi, iaitu kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan di bawah Perkara 159.
Rentetan kegagalan tersebut, mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac memutuskan agar Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri dibentangkan semula dalam persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini.

Sistem Perlembagaan dan Kedudukan Perdana Menteri menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli sebagai Perdana Menteri.
Dalam erti kata lain, tempoh seseorang Perdana Menteri memegang jawatan bukan ditentukan oleh masa tertentu tetapi bergantung kepada kepercayaan majoriti di Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong juga tidak mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri secara langsung. Sekiranya Perdana Menteri kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.
Jika permohonan pembubaran ditolak, maka peletakan jawatan perlu dilakukan bersama seluruh anggota Jemaah Menteri.
Berdasarkan kerangka ini, ada pandangan yang menyatakan penetapan had tempoh akan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Namun hakikatnya, kuasa prerogatif tersebut hanya berkaitan pelantikan Perdana Menteri, bukan tempoh jawatannya. Oleh itu, penetapan had tempoh tidak menjejaskan kedudukan prerogatif baginda.
Namun tanpa had masa yang jelas, sistem sedia ada membolehkan seseorang pemimpin memegang jawatan selama mana beliau mengekalkan sokongan majoriti. Keadaan ini berpotensi melemahkan mekanisme semak dan imbang serta membuka ruang salah guna kuasa, ketirisan moral dan pengumpulan pengaruh politik yang terlalu besar pada satu individu.
Pengalaman politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan betapa pentingnya reformasi institusi. Antara 2018 hingga 2022, Malaysia menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri akibat kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.
Peristiwa ini menunjukkan walaupun sistem kepercayaan majoriti berfungsi, ia juga boleh menimbulkan ketidakstabilan politik jika tidak disertai dengan reka bentuk institusi yang lebih kukuh.
AMALAN ANTARABANGSA
Dari sudut perbandingan antarabangsa, had tempoh jawatan merupakan satu amalan yang semakin meluas dalam sistem demokrasi moden.
Di Indonesia misalnya, pengalaman pemerintahan Presiden Suharto selama 32 tahun membawa kepada pindaan Perkara 7 Undang-Undang Dasar (UUD) 1945 pada 1999 yang mengehadkan presiden kepada dua penggal sahaja. Reformasi ini lahir daripada trauma politik terhadap pemerintahan yang terlalu lama serta isu korupsi, kolusi dan nepotisme.
Filipina pula mengambil pendekatan yang lebih ketat selepas pengalaman pemerintahan diktator Ferdinand Marcos selama 21 tahun.
Perlembagaan 1987 menetapkan presiden hanya boleh berkhidmat satu penggal selama enam tahun tanpa peluang untuk bertanding semula.
Thailand melalui Perlembagaan 2017 mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada maksimum lapan tahun. Isu ini pernah mencetuskan perbahasan undang-undang apabila tempoh perkhidmatan bekas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha dicabar di mahkamah.
Korea Selatan pula mengehadkan tempoh presiden kepada satu penggal (lima tahun) bagi mengelakkan pengulangan pengalaman pemerintahan autoritarian pada masa lalu.
Amerika Syarikat (AS) secara tradisinya mengikuti amalan dua penggal sejak zaman George Washington. Namun selepas Franklin D. Roosevelt memenangi empat penggal berturut-turut, Kongres meluluskan Pindaan ke-22 pada 1951 bagi mengehadkan presiden kepada dua penggal sahaja.
Perancis juga memperkenalkan had dua penggal berturut-turut selepas pindaan perlembagaan pada 2008.
Namun demikian, walaupun United Kingdom (UK) tidak mempunyai had tempoh rasmi, namun mekanisme semak dan imbang berlaku melalui kematangan parti politik yang boleh menukar pemimpin parti apabila dianggap menjadi liabiliti politik.
PERSPEKTIF FIQH SIYASAH
Dari sudut usul fiqh, had tempoh boleh difahami melalui beberapa kerangka utama. Pertama, konsep al-‘aqd atau kontrak pelantikan. Perlembagaan dan undang-undang negara boleh dianggap sebagai manifestasi kepada bai‘ah moden antara rakyat dan pemimpin.
Apabila had tempoh ditetapkan melalui undang-undang, ia menjadi syarat dalam kontrak tersebut. Prinsip fiqh menyebut Al-muslimuna ‘ala shurutihim (orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka persetujui).
Oleh itu, pemimpin yang menerima jawatan di bawah sistem yang mengehadkan tempoh sebenarnya terikat untuk mematuhinya.
Kedua, prinsip sadd al-dhara’i, iaitu menutup pintu kepada kerosakan yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Pemerintahan yang terlalu lama sering kali membawa kepada pemusatan kuasa, kelemahan institusi pengawasan serta kelesuan inovasi dalam pentadbiran negara.
Ketiga, konsep maslahah mursalah, iaitu kepentingan awam yang tidak dinyatakan secara khusus dalam nas tetapi selari dengan maqasid syariah. Had tempoh boleh membantu menjaga kestabilan sistem politik dan memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan teratur.
Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan kepimpinan merupakan kontrak antara pemimpin dan masyarakat bagi memastikan maslahat rakyat terpelihara. Oleh itu, sebarang mekanisme yang membantu memastikan pemimpin kekal adil dan berfungsi dengan baik boleh diterima sebagai ijtihad siyasah.
Ibn Khaldun pula dalam al-Muqaddimah mengingatkan kekuasaan mempunyai kitaran hayat. Sesebuah pemerintahan lazimnya melalui fasa kemuncak sebelum memasuki fasa kemerosotan apabila semangat pengorbanan digantikan dengan kecenderungan kepada kemewahan dan pembaziran.
Ibn Taymiyyah juga menegaskan kepimpinan adalah amanah yang besar. Jika amanah tersebut tidak ditunaikan dengan baik, ia boleh berubah menjadi pengkhianatan terhadap masyarakat.
Dalam hal ini, had tempoh boleh dianggap sebagai mekanisme institusi untuk memotong kitaran kemerosotan tersebut sebelum merosakkan sistem negara.
Seorang pemimpin boleh datang dan pergi tetapi negara dan rakyat harus terus berdiri. Oleh itu, penetapan had tempoh jawatan bukanlah bertujuan mengecilkan peranan pemimpin. Ia sebaliknya memastikan kuasa sentiasa bergerak dalam orbit amanah, bukannya berubah menjadi milik peribadi.
Dalam optik siyasah syar‘iyyah, had tempoh jawatan Perdana Menteri boleh dianggap harus, malah dalam keadaan tertentu boleh meningkat kepada sunat atau bahkan wajib sekiranya ketiadaan had tersebut membuka ruang kepada kezaliman dan kerosakan dalam sistem pemerintahan. – UTUSAN
PROFESOR Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










