KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, cuti tambahan akan diberikan pada 23 Mac (Isnin) sekiranya Hari Raya jatuh pada 20 Mac (Jumaat) ini.
Manakala cuti tambahan akan diberikan pada 20 Mac sekiranya Aidilfitri jatuh pada 21 Mac (Sabtu).
Menurutnya, hari cuti tambahan itu diberikan sebagai penghargaan kepada rakyat.
“Kita berikan cuti tambahan Hari Raya kerana kita anggap semua orang sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini.
“Semua orang (kerja bersungguh-sungguh menerusi) waktu bekerja tambahan, dedikasi tambahan dan usaha tambahan.
“Jadi kita berikan ganjaran dengan (memberikan) cuti tambahan. Sesiapa yang tidak ada usaha tambahan, anda masih mempunyai beberapa hari lagi. Tolong usaha lebih agar anda layak untuk cuti tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 bertempat di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. – UTUSAN










