Permohonan Kerajaan Persekutuan tidak jejaskan tuntutan 40 peratus Sabah

Permohonan Kerajaan Persekutuan tidak jejaskan tuntutan 40 peratus Sabah

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak menjejaskan hak pemberian khas yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara terbabit menjadi perhatian pihaknya berikutan ia turut menyentuh hak perlembagaan negeri Sabah.

Menurutnya, sejak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh melalui proses perundangan serta rundingan antara kedua-dua pihak.

“Pada 14 November 2025, Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Selaras dengan itu, Kerajaan Persekutuan juga telah memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan.

“Permohonan penggantungan ini tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.

“Ia sebaliknya bertujuan memberikan ruang yang sewajarnya kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan penelitian yang lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mustapha turut berkata, sejak November tahun lalu, beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui jawatankuasa rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di peringkat pegawai.

Menurutnya, ia bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil yang berkaitan.

“Dalam proses tersebut, Kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025.

“Pada masa yang sama, usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya dari tahun “The Lost Years”, yang sebahagian besarnya direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut.

“Perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

“Permohonan penggantungan perintah mahkamah ini turut dibuat bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencapai satu penyelesaian adil dan menyeluruh untuk negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan tempoh 180 hari yang berkaitan dengan pelaksanaan perintah tersebut dijangka tamat pada 15 April ini, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

“Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan (contempt of court) walaupun proses rayuan masih belum didengar. Permohonan penggantungan ini dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac ini.

“Pendirian kerajaan Sabah dan juga pihak Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah tersebut harus dihormati.

“Dalam sebuah sistem demokrasi dan perundangan yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang wajar dan merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang.

“Namun demikian, saya percaya bahawa matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil,” katanya.

Susulan itu, beliau menyatakan harapan agar segala proses perundangan dan rundingan yang sedang berjalan dapat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, semangat kerjasama serta keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×