PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menarik balik permohonan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah (komital) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu Titah Adendum.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku perayu berkata, anak guamnya sudah memperuntukkan banyak wang dan masa bagi memastikan kes itu terus berjalan.
Beliau malah menegaskan prosiding itu adalah berbeza dengan penguatkuasaan Titah Adendum berkait dengan perintah tahanan rumah walaupun kedua-dua keputusan sebelum ini dibuat oleh hakim yang sama, Hakim Alice Loke Yee Ching di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Pada permulaan prosiding, pengerusi panel hakim bertanya sama ada kes ini berkaitan dengan Perintah 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk menguatkuasakan titah adendum itu. Saya menjawab kedua-duanya tiada kaitan antara satu sama lain.
“Anak guam saya (Najib) mahu diberikan ruang selama dua ke tiga minggu untuk memikirkan perkara ini tetapi tetap bertegas tidak akan menarik balik rayuan itu. Malah, Peguam Negara juga memohon masa kerana pihak mereka kini sedang menilai semula sama ada kedua-dua perkara ini berasingan atau sebaliknya.
“Pada pandangan saya, ia memang berasingan. Tidak boleh mengatakan kedua-duanya adalah satu perkara yang sama,” katanya ketika sidang akhbar selepas tamat prosiding di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong, yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Nadzarin Wok Nordin hari ini sepatutnya mendengar rayuan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terriruddin.
Terdahulu, Hakim Chong Fong mempersoalkan sama ada rayuan berhubung penghinaan mahkamah itu wajar diteruskan sekarang atau menunggu keputusan rayuan berasingan berkaitan Titah Adendum itu.
Semasa prosiding, Ahmad Terrirudin selaku responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac ini bagi pengurusan kes berkenaan.
Pada 4 September 2025, Najib gagal mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin.
Permohonan kebenaran komital yang difailkan bekas Ahli Parlimen Pekan adalah berhubung tindakan Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam permohonan semakan kehakiman membabitkan Titah Adendum.
Asas permohonan itu ialah salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, yang diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.
Najib melalui peguamnya dalam hujahan sebelum ini, berkata tindakan menghina mahkamah oleh Ahmad Terrirudin bermula seawal atau sebelum 3 April 2024 apabila mengarahkan peguam kanan persekutuan (SFC) untuk membantah semakan kehakiman yang difailkan anak guamnya.
Tambahan pula, melalui sepucuk surat bertarikh 4 Januari 2025, katanya, Majlis Kesultanan Pahang secara rasmi telah mengesahkan ketulenan dan kesahihan Titah Adendum terbabit. – UTUSAN









