Akhir-akhir ini dunia menyaksikan semakin banyak rundingan antarabangsa antara negara yang berkonflik berakhir tanpa penyelesaian kukuh.
Ada yang menemui jalan buntu, ada yang hanya menghasilkan persetujuan sementara yang rapuh dan tidak kurang gagal sepenuhnya.
Konflik antara Ukraine dan Russia serta tragedi kemanusiaan yang berterusan di Palestin menunjukkan betapa sukarnya mencapai perdamaian yang berkekalan.
Walaupun pelbagai usaha diplomasi, namun rundingan sering kali berakhir tanpa perubahan nyata di lapangan. Ribuan nyawa terus terkorban, kemusnahan berlanjutan dan harapan terhadap penyelesaian adil semakin jauh.
Perkembangan terkini di Asia Barat menambah kebimbangan. Rundingan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang diusahakan melalui perantaraan Oman pada awalnya dilihat hampir mencapai persetujuan.
Menteri Luar Oman menyatakan perjanjian damai hampir dimuktamadkan, termasuk kesediaan Iran mematuhi dasar ‘sifar simpanan’ uranium diperkaya di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Namun, harapan itu tidak bertahan lama. Hampir serentak dengan proses rundingan tersebut, serangan berlaku terhadap Iran.
Serangan itu kemudiannya disusuli dengan tindak balas Iran terhadap beberapa negara termasuk Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar.
Situasi sebegini menggambarkan cabaran besar dihadapi perundingan dan mediasi antarabangsa ketika konflik sedang memuncak.
Dalam teori hubungan antarabangsa, ada pandangan yang menyatakan semakin tinggi intensiti konflik, semakin besar kemungkinan pihak yang bertikai bersedia menerima mediasi sebagai cara mengelakkan kerugian lebih besar. Namun realiti semasa menunjukkan logik ini tidak selalu berlaku.
Konflik mengorbankan puluhan ribu nyawa di Palestin misalnya, tidak semestinya mendorong pihak terlibat menghentikan serangan.
Malah, dalam beberapa keadaan, keganasan berterusan walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa dunia mungkin sedang berhadapan kemerosotan rasa kemanusiaan yang serius.
Dalam keadaan seperti ini, sekurang-kurangnya prinsip undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia perlu dijadikan asas bersama dalam setiap rundingan.
Tanpa asas nilai yang jelas, rundingan mudah bertukar menjadi sekadar pertemuan diplomatik tanpa arah sebenar.
Berbeza dengan mediasi domestik, rundingan dalam konflik antarabangsa sering berhadapan kekangan struktur yang lebih rumit.
Dalam sistem domestik, kes jenayah biasanya berada di luar ruang rundingan dan tertakluk penguatkuasaan undang-undang tegas. Namun dalam hubungan antarabangsa, mekanisme penguatkuasaan undang-undang jauh lebih terhad.
Walaupun Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Artikel 2(4) jelas melarang penggunaan kekerasan, namun realitinya undang-undang antarabangsa tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan yang benar-benar kuat.
Ini menyebabkan proses mediasi antarabangsa sering terdedah tekanan kuasa dan kepentingan strategik negara.
Selain peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), rundingan dan mediasi menjadi antara saluran utama untuk menangani konflik rumit, sebagaimana digalakkan melalui Artikel 33 Piagam PBB yang menyeru pihak-pihak mencari penyelesaian secara aman melalui rundingan, mediasi atau timbang tara.
Namun persoalan yang semakin ketara ialah sejauh mana proses rundingan benar-benar selari dengan prinsip orde dunia berasaskan peraturan. Prinsip ini sepatutnya menjadi asas penyelesaian konflik antarabangsa. Jika hanya digunakan sebagai hujah diplomatik atau alat tawar-menawar politik, maka maknanya akan semakin pudar.
Cabaran ini menjadi lebih jelas apabila komitmen terhadap undang-undang antarabangsa tidak sekata antara negara.
Dalam banyak keadaan, pertimbangan kuasa dan kepentingan strategik lebih dominan berbanding prinsip perundangan. Akibatnya, proses mediasi mudah terperangkap dalam logik realpolitik, di mana kekuatan dan pengaruh menjadi penentu utama hala tuju rundingan.
Keinginan sesetengah negara untuk mengekalkan pengaruh geopolitik juga boleh menjejaskan kesediaan untuk berkompromi. Dalam kerangka ini, konflik kadangkala dilihat sebagai peluang untuk memperluas pengaruh strategik, bukannya sebagai masalah yang perlu diselesaikan secara bersama.
Keadaan ini menjadikan pencarian titik persamaan dalam rundingan antarabangsa semakin mencabar. Kejayaan sesuatu rundingan sebenarnya sangat bergantung kepada kesungguhan pihak-pihak yang terlibat untuk mencapai persetujuan. Prinsip ini sering digambarkan sebagai ‘niat suci hati’ dalam diplomasi.
Namun dalam realiti hubungan antarabangsa, negara biasanya membuat pertimbangan berdasarkan alternatif yang mereka miliki sekiranya rundingan gagal.

Jika sesuatu pihak merasakan kelebihan ketenteraan membolehkan tekanan ekonomi atau sokongan sekutu memberikan keuntungan lebih besar berbanding kompromi di meja rundingan, maka komitmen terhadap rundingan akan menjadi lemah.
Sebaliknya, jika risiko kegagalan rundingan masih boleh ditanggung, maka insentif untuk mencapai kompromi juga akan berkurangan. Dalam keadaan seperti ini, rundingan berisiko menjadi sekadar strategi untuk melengah-lengahkan masa, mengurangkan tekanan antarabangsa atau mengukuhkan kedudukan ketenteraan.
Keadaan ini turut mencetuskan perdebatan lebih luas tentang kepemimpinan moral dalam sistem antarabangsa. Sarjana hubungan antarabangsa Kishore Mahbubani pernah menyatakan dunia Barat semakin kehilangan kredibiliti moralnya kerana pendekatan yang dianggap selektif dalam mengaplikasikan prinsip undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
Pada masa sama, perubahan keseimbangan kuasa global yang semakin beralih ke Timur membuka ruang kepada Asia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk norma sistem antarabangsa. Ini termasuk membawa perspektif nilai dan tradisi perundangan yang lebih pelbagai.
Dalam perkembangan undang-undang antarabangsa sendiri, terdapat pengiktirafan sistem perundangan global tidak seharusnya berasaskan tradisi Barat semata-mata.
Hakim Christopher Weeramantry dalam kes Gabcikovo–Nagymaros (1997) menegaskan mahkamah antarabangsa perlu merujuk kepada prinsip perundangan yang berakar dalam pelbagai tamadun dunia.
Hal ini selari dengan Artikel 9 Statut ICJ yang mengiktiraf mahkamah perlu mencerminkan ‘sistem perundangan utama dunia.
Dalam konteks ini, prinsip undang-undang Islam juga dilihat sebagai sebahagian daripada tradisi penting yang boleh memperkayakan keragka undang-undang antarabangsa.
Konsep perdamaian atau sulh dalam tradisi Islam, misalnya, menekankan diplomasi, mediasi dan timbang tara yang bertujuan memulihkan hubungan serta mencapai penyelesaian yang adil.
Dalam dunia yang semakin berpecah akibat konflik dan persaingan geopolitik, nilai-nilai seperti ini boleh menjadi asas penting untuk menghidupkan kembali semangat perdamaian dalam diplomasi antarabangsa.
Pada akhirnya, masih belum terlambat untuk pihak-pihak yang bertikai kembali ke meja rundingan. Walaupun kepercayaan mungkin terhakis dan banyak nyawa terkorban, namun rundingan tetap merupakan jalan paling berpotensi untuk mengelakkan konflik daripada terus merebak. –UTUSAN
PENULIS ialah Dekan Institut Sains Islam Malaysia dan penyelidik kumpulan Sulh-Dispute Resolution & Peace (SiDR), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










