PETALING JAYA: Siasatan terhadap dakwaan mafia korporat tetap diteruskan dan diperluaskan oleh pihak berkuasa walaupun DAP tidak berjaya meyakinkan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan yang sedang dijalankan perlu mencapai satu keputusan dan DAP akan terus memantau perkembangan kes tersebut.
Beliau berkata, DAP menyifatkan dakwaan mengenai mafia korporat sebagai perkara yang amat serius dan perlu disiasat serta diambil tindakan.
“Disebabkan itu pendirian kami adalah supaya RCI ditubuhkan. DAP telah menyuarakan pendirian tersebut dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, namun ia tidak mendapat sokongan penuh semua anggota Kabinet dan tidak dapat dilaksanakan.
“Walaupun RCI tidak ditubuhkan, itu tidak bermakna perkara ini tidak disiasat. Satu pasukan petugas telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan dan skop siasatan juga telah diperluaskan.
“Siasatan itu bukan hanya tertumpu kepada pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tetapi turut melibatkan dakwaan berkaitan mafia korporat. Keputusan siasatan masih belum diumumkan, namun hasilnya perlu dibentangkan kepada Kabinet dan kami akan terus mengikuti perkara ini,” katanya menerusi program podcast, The Keywords.
Anthony Loke berkata, selain siasatan oleh pasukan petugas, pihak polis juga perlu menjalankan siasatan sendiri kerana beberapa individu telah dinamakan.
Katanya, pihak polis perlu bertindak segera dan mendakwa pihak yang terlibat sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
“Setakat yang saya faham, polis telah membekukan dana milik beberapa syarikat, termasuk yang dikaitkan dengan sebahagian individu yang disebut. Dana mereka telah dibekukan.
“Jika terdapat bukti yang mencukupi, mereka perlu didakwa. Akhirnya mesti ada jawapan dan tindakan terhadap perkara ini, jadi kami pasti akan terus menyusulinya. Saya sudah mendengar perkara ini sejak lima tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau, turut berkata pemimpin DAP telah mendengar dakwaan mengenai “mafia korporat” seawal antara tahun 2020 hingga 2022.
“Terus terang saya katakan, dakwaan ini bukan perkara baharu. Ia tidak hanya timbul selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan. Saya telah mendengar dakwaan atau kes seperti ini sejak lima tahun lalu.
“Sekurang-kurangnya selepas Sheraton Move sekitar 2020, 2021 dan 2022, saya sudah mendengar dakwaan yang sama. Beberapa syarikat yang terkesan juga sebenarnya saya kenal dan saya pernah mendengar mereka mengadu menghadapi masalah seperti ini,” katanya.
Katanya, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo pernah menjadi peguam kepada salah satu syarikat yang terlibat.
“Dakwaan ini kini muncul secara terbuka. Sebelum ini kita mungkin hanya mendengar khabar angin atau cerita daripada syarikat, tetapi tiada siapa yang benar-benar tampil bercakap secara terbuka.
“Kini sebuah media antarabangsa telah melaporkannya dengan menamakan individu dan syarikat. Apabila nama telah disebut, kita tidak boleh memandang ringan perkara ini,” katanya. – UTUSAN










