Tubuh RCI siasat keselamatan institusi pendidikan

Tubuh RCI siasat keselamatan institusi pendidikan

MUZAFFAR SYAH MALLOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tahap keselamatan di semua institusi pendidikan susulan pelbagai insiden jenayah melibatkan pelajar.

Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, insiden berkenaan menuntut langkah menyeluruh bagi memastikan keselamatan pelajar, tenaga pengajar dan anggota pentadbiran diberi keutamaan.

Katanya, penubuhan RCI membolehkan tahap keselamatan di sekolah dan universiti diteliti bagi mengenal pasti sama ada langkah sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penubuhan RCI penting bagi memberi ruang dan peluang kepada pihak yang mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk menyiasat segala isu berbangkit melibatkan perkara ini.

“Hasil siasatan yang dilakukan kemudian dapat dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Muzaffar, insiden pembunuhan, rogol, buli, pergaduhan, peras ugut dan kegiatan gengsterisme melibatkan pelajar menunjukkan perlunya langkah drastik bagi meningkatkan keselamatan institusi pendidikan.

Beliau berkata, langkah keselamatan perlu diperkukuh seiring perubahan zaman dan pendedahan kepada pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan kesejahteraan warga institusi pendidikan.

Katanya, kegagalan memastikan institusi pendidikan bebas daripada ancaman boleh menjejaskan keyakinan masyarakat untuk menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan.

Keadaan itu, menurut beliau, turut berisiko menjejaskan reputasi pendidikan negara.

Muzaffar berkata, penubuhan RCI boleh dilaksanakan menerusi Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, hasil siasatan dan cadangan suruhanjaya itu dapat membantu kerajaan mengenal pasti serta menangani kelemahan keselamatan secara lebih menyeluruh.

“Apa yang paling penting sekali, dengan adanya RCI ini, kita dapat mengenal pasti dengan lebih mendalam segala isu berbangkit yang ada.

“Penubuhan RCI penting supaya rakyat berasa yakin dan percaya terhadap keseriusan pihak kerajaan untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mengatasi segala masalah dan kelemahan yang ada dengan segera demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN