Ambulans langgar lubang, pesakit tersedar - Utusan Malaysia

Ambulans langgar lubang, pesakit tersedar

LUBANG besar di kawasan sebatang jalan raya di India.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang wanita yang diisytiharkan mati otak oleh doktor dilaporkan kembali sedar secara mengejut selepas ambulans yang membawanya pulang terlanggar lubang besar di sebuah lebuh raya di negeri Uttar Pradesh, India.

Wanita berkenaan, Vineeta Shukla yang bekerja sebagai pembantu kanan di bahagian salinan di mahkamah kehakiman dilaporkan rebah di rumahnya pada 22 Februari lalu sebelum dirujuk ke hospital di Bareilly untuk rawatan.

Shukla bagaimanapun diisytiharkan mati otak dan dibenarkan keluar dari hospital selepas doktor menyatakan peluangnya untuk hidup amat tipis.

Ketika dalam perjalanan pulang melalui lebuh raya Bareilly–Haridwar NH-74, ambulans yang membawanya terlanggar sebuah lubang besar di jalan, menyebabkan kenderaan itu ‘bergoncang’ kuat.

Hentakan kuat itu secara tidak dijangka menjadi penyelamat kepada Vineeta apabila dia tiba-tiba tersedar akibat kejutan tersebut.

Suaminya, Kuldeep Kumar Shukla, memberitahu Times of India, dia sebelum itu sudah meminta ahli keluarga membuat persiapan untuk upacara pengebumian kerana Shukla tidak lagi bernafas sendiri dan degupan jantungnya semakin lemah.

Namun, disebabkan ambulans itu melanggar lubang besar berhampiran Hafizganj, pernafasan isterinya tiba-tiba kembali normal.

Dia segera menghubungi keluarganya untuk membatalkan persiapan pembakaran mayat dan membawa Shukla  ke Hospital Neurocity di Pilibhit.

Wanita berusia 50 tahun itu kemudian menerima rawatan rapi di hospital berkenaan dan selepas hampir dua minggu, dibenarkan pulang ke rumah. Kuldeep berkata, isterinya kini sudah boleh bercakap dengan semua orang.

Pakar bedah saraf Hospital Neurocity, Dr Rakesh Singh berkata, beliau meneliti semula semua data perubatan Vineeta termasuk keadaan fizikal dan diagnosis yang dibuat oleh hospital di Bareilly.

Menurutnya, di hospital Bareilly, dia langsung tidak memberi sebarang respons. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×