Rakam kisah keluarga sebagai dokumentasi berharga

Rakam kisah keluarga sebagai dokumentasi berharga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA hujung minggu ini, saya dan penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang berada di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka untuk mengendalikan program galakan membaca dan menulis khusus bagi kanak-kanak, remaja dan belia di kampung warisan itu.

Hubungan saya dengan kampung itu bermula pada 2006 dan saya masih berkunjung dari semasa ke semasa. 

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) juga banyak kali mengendalikan program bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama penduduk Kampung Chetti.

Saya menulis rencana, puisi dan cerpen, selain membuat rakaman video untuk YouTube dalam usaha mendokumentasi sejarah, keunikan, identiti dan perkembangan semasa komuniti peranakan ini.

Kavyan juga berjaya membimbing beberapa penulis kaum India untuk melakukan hal sama.

Namun begitu, perkara yang sentiasa ditekankan adalah supaya komuniti itu sendiri melakukan usaha dokumentasi. Saranan ini bukan khusus bagi komuniti Chetti Melaka tetapi turut saya beritahu kepada semua peserta bengkel penulisan.

Secara mudah, apabila saya dan rakan-rakan penulis berkunjung ke Kampung Chetti, tentulah kami mendapat pengalaman dan bahan hasil daripada pemerhatian dan pergaulan dengan penduduk di sana. Maka, bolehlah dijadikan sumber bagi penulisan karya.

Walau bagaimanapun, apa yang dihasilkan masih berupa ‘catatan orang luar’. Misalnya, sejak zaman dahulu, orang Eropah khususnya dari Britain menulis tentang penduduk negara ini berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan pergaulan mereka.

Dokumentasi orang Eropah itu memang amat penting dan bernilai. Namun, sering dikatakan gagal mewakili dan menggambarkan realiti dari sudut pengalaman komuniti terbabit iaitu penduduk di sini.

Maka, jika mahu kisah kita dirakam dan didokumentasi untuk tatapan generasi akan datang, maka pihak yang paling sesuai, layak serta bertanggungjawab melakukannya ialah diri sendiri. 

Kesedaran ini juga yang membuatkan saya membuat rakaman dokumentari secara amatur tentang tempat kelahiran saya.

Dokumentari Kenangan di Lorong B yang dirakam menggunakan telefon bimbit kemudian dipilih pula untuk ditayangkan di Festival Filem Raintown di Taiping, Perak pada September 2025. Maka, tiada alasan untuk kita mengatakan tidak mampu membuat rakaman pendek bagi siaran di media sosial tentang kampung kita.

Saranan inilah juga saya beri kepada remaja dan belia di Kampung Chetti sejak dahulu. Rata-rata generasi muda dalam komuniti itu berpelajaran dan tidak ada masalah literasi. Malah, perlu diingat, bahasa ibunda mereka ialah bahasa Melayu atau bahasa kreol.

Hal ini bermaksud, generasi muda komuniti Chetti Melaka sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengungkapkan pengalaman dalam bahasa kebangsaan. Namun begitu, perlu juga diakui tidak semestinya semua orang memiliki minat dan bakat penulisan.

Menyedari hakikat inilah saya sering menyarankan peserta program Kavyan menggunakan apa-apa cara paling mudah dan selesa untuk mendokumentasi keunikan budaya komuniti.

Misalnya, seorang remaja di Kampung Chetti boleh sahaja merakam foto dan video ringkas tentang kuil-kuil yang terdapat di kampung itu. Kemudian, boleh dipaparkan di media sosial beserta sedikit catatan.

Malah, mereka boleh membuat rakaman video di Muzium Chetti sambil memberi keterangan tentang objek dan artifak dipamerkan. Sambutan perayaan keagamaan di kuil, pesta menuai (ponggol), upacara parchu dan acara naik bukit tentu boleh dirakam foto atau video dan disertakan penerangan ringkas.

Sebenarnya, saranan ini bukan hanya kepada komuniti Chetti Melaka. Kita boleh berbalik kepada keluarga masing-masing. Datuk dan nenek pasti menyimpan pelbagai cerita lisan yang mereka dengar daripada nenek-moyang.

Kisah-kisah ini mungkin bercerita tentang susur-galur keluarga atau pengalaman hidup semasa zaman penjajahan. Cerita ini mungkin tidak terlalu penting sehingga layak dimasukkan dalam buku teks sekolah. 

Bagaimanapun, setiap cerita lisan itu adalah sebahagian daripada kisah diri dan keturunan kita.

Maka, amat wajar dirakam dan didokumentasi sebelum warga emas yang menjadi sumber segala pengalaman dan cerita itu meninggal dunia.

Dalam kalangan komuniti Chetti Melaka, setiap kali seorang warga emas meninggal dunia, generasi muda meluahkan rasa sedih dan kecewa kerana ‘tidak sempat’ mewawancara dan mendokumentasi pendalaman individu terbabit.

Maka, cara mudah yang boleh kita jadikan amalan dan budaya dalam keluarga ialah menggalakkan usaha mendokumentasi pengalaman dan cerita lama.

Misalnya, apabila anak-anak pergi bercuti di rumah datuk dan nenek, berikan mereka ‘tugasan’ kecil iaitu mewawancara warga emas.

Tugasan ini boleh jadi dalam bentuk tulisan, lukisan, foto atau video. Biarlah anak-anak menjadi seperti wartawan profesional yang mewawancara seorang tokoh.

Saya yakin, anak-anak akan teruja menjadi jurufoto dan pengarah semasa sesi wawancara seperti ini.

Kanak-kanak dan remaja juga boleh merakam video aktiviti harian datuk dan nenek, misalnya memasak, menyapu, membaiki radio atau apa sahaja yang pasti akan menjadi amat menarik selepas disunting, dimasukkan muzik latar dan ditambah sedikit suara latar.

Anak-anak juga boleh diminta menghasilkan salasilah keluarga dalam bentuk pokok keluarga. Minta mereka lekatkan foto setiap individu dan tulis nama. Pokok keluarga ini akan berkembang apabila sepupu sepapat turut menyumbang kepada ‘ranting’ pokok itu.

 

MELALUI penulisan, foto, video atau rakaman cerita lisan keluarga membolehkan generasi muda merakam identiti, budaya dan salasilah mereka sebelum hilang ditelan masa.

 

 

SAMBIL BELAJAR

Secara tidak langsung, anak-anak akan tahu gelaran sapaan yang betul dalam keluarga, bukan sekadar uncle dan aunty. Mungkin berlaku kahwin campur dalam kalangan saudara mara serta melibatkan pertukaran agama. 

Semua ini akan membantu kanak-kanak memahami betapa wujud kepelbagaian budaya yang wajar diraikan dalam keluarga mereka sendiri.

Maka, akhirnya, selain daripada melaksanakan tugas mendokumentasi kisah keluarga dalam bentuk tulisan, foto, lukisan, video atau pokok keluarga membolehkan generasi muda berpeluang mengenali identiti, jati diri, salasilah dan kepelbagaian bahasa serta budaya yang wujud.

Kesemua khazanah ini pula didokumentasi untuk tatapan generasi akan datang. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×