DALAM perbincangan tentang halal, pastinya kefahaman masyarakat lazimnya tertumpu perkara yang jelas dan mudah dikenali, seperti daging babi atau minuman beralkohol.
Namun realiti industri makanan dan produk pengguna jauh lebih kompleks. Banyak cabaran halal hadir dalam bentuk ramuan teknikal yang tidak mudah difahami pengguna biasa. Di sinilah pentingnya pendidikan halal yang berasaskan ilmu, bukan sekadar simbol atau persepsi.
Antara ramuan yang sering menimbulkan persoalan dalam pensijilan halal ialah gelatin.
Walaupun namanya biasa disebut dan digunakan secara meluas dalam produk harian tetapi gelatin sebenarnya tergolong kategori bahan kritikal dalam sistem pensijilan halal.
Pengelasan ini bukan dibuat secara semberono tetapi berasaskan pertimbangan syariah, sains dan pengurusan rantaian bekalan.
“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib) dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)
Dalam konteks inilah, gelatin dikategorikan sebagai bahan kritikal dalam pensijilan halal.
Gelatin ialah protein yang terhasil daripada kolagen, lazimnya melalui pemrosesan kulit, tulang dan tisu penghubung haiwan. Ia digunakan secara meluas dalam industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik kerana keupayaannya membentuk tekstur, menstabilkan produk dan memberikan ciri kenyal. Walaupun gelatin sering digunakan dalam kuantiti kecil, namun kesannya terhadap status halal adalah besar.
Dalam syariah, hukum tidak dinilai berdasarkan kuantiti semata-mata tetapi berdasarkan asal-usul dan sifat zat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjadi asas sesuatu yang masuk ke dalam tubuh manusia mestilah bersih dari sudut sumber dan proses. Oleh itu, gelatin tidak boleh dinilai sebagai bahan neutral tanpa meneliti dari mana ia berasal.
Gelatin dikategorikan sebagai bahan kritikal kerana sumbernya berasaskan haiwan. Jika diperoleh daripada haiwan yang halal dan disembelih mengikut ketetapan syarak, maka dibenarkan.
Namun jika gelatin berasal daripada haiwan yang haram atau daripada haiwan halal yang tidak disembelih mengikut hukum Islam, maka statusnya menjadi tidak halal.
Selain itu, gelatin juga dikategorikan sebagai bahan kritikal kerana kesannya terhadap keseluruhan produk. Dalam prinsip halal, satu ramuan yang tidak halal sudah cukup untuk menjejaskan keseluruhan produk, walaupun bahan-bahan lain adalah halal. Prinsip ini sejajar dengan kaedah fiqh: “Apabila bercampur halal dan haram, maka didahulukan yang haram.”
Kaedah ini bukan bertujuan menyukarkan kehidupan tetapi bagi menjaga kehati-hatian (ihtiyat) dalam perkara yang melibatkan ibadah dan pemakanan.
Bahkan, gelatin memiliki sifat yang sukar dikesan pengguna.
Istilah gelatin pada label produk tidak menjelaskan sumber asalnya. Dalam rantaian bekalan global, gelatin boleh melalui beberapa peringkat pemprosesan dan pembekalan sebelum digunakan dalam produk akhir.
Keadaan ini menjadikan pengesahan halal tidak boleh bergantung kepada sangkaan atau kepercayaan semata-mata.
Islam sangat menekankan kepastian dalam perkara halal dan haram. Rasulullah SAW bersabda: “Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Gelatin sering berada dalam kategori syubhah jika sumbernya tidak diperjelaskan. Oleh sebab itu, sistem pensijilan halal perlu berfungsi sebagai mekanisme yang menghilangkan keraguan dan mengembalikan kepastian kepada pengguna.
Dalam konteks Malaysia, sistem pensijilan halal yang diselaras Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi penekanan khusus terhadap gelatin. Setiap bahan yang berpotensi menentukan status halal produk perlu melalui proses penilaian yang teliti, termasuk pengesahan sumber dan rantaian bekalan.
Pendekatan ini selari dengan tuntutan syariah agar umat Islam menjauhi perkara yang meragukan.
Gelatin juga sering dikaitkan dengan perbincangan konsep istihalah, iaitu perubahan zat.
Pendekatan berhati-hati diambil dalam amalan pensijilan halal kerana gelatin daripada sumber haram tidak dianggap berubah sepenuhnya kepada zat baharu yang suci. Prinsip kehati-hatian ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.” (Riwayat al-Tirmizi)
Pendekatan ini bertujuan memelihara agama dan menjaga keyakinan pengguna Muslim.
Pendidikan halal memainkan peranan penting. Apabila pengguna memahami mengapa gelatin dikategorikan sebagai bahan kritikal, mereka akan melihat pensijilan halal sebagai sistem perlindungan, bukan sekadar keperluan perundangan. Hal ini selari dengan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama (hifz al-din) dan nyawa (hifz al-nafs).

GELATIN HALAL
Dalam masa sama, penting untuk difahami pengkategorian gelatin sebagai bahan kritikal bukan bermaksud semua gelatin adalah bermasalah. Industri halal sebenarnya menyediakan beberapa pilihan gelatin halal yang sah dan diterima syariah.
Antara pilihan yang tersedia ialah gelatin daripada haiwan halal yang disembelih mengikut syarak, seperti lembu atau kambing, dengan pengesahan rantaian bekalan yang jelas.
Gelatin jenis ini digunakan secara meluas dalam produk halal yang mematuhi piawaian pensijilan.
Selain itu, gelatin berasaskan ikan juga menjadi alternatif yang semakin mendapat tempat. Gelatin ikan tidak memerlukan proses sembelihan seperti haiwan darat dan secara umumnya diterima sebagai halal selagi proses pengeluarannya bebas daripada pencemaran silang.
Dalam beberapa aplikasi makanan dan farmaseutikal, pengilang turut menggunakan bahan pengganti gelatin, seperti pektin, agar-agar, karagenan atau kanji termodifikasi. Walaupun secara teknikal ia bukan gelatin, namun bahan-bahan ini mampu memberikan fungsi yang hampir sama dan sering digunakan dalam produk yang menekankan pematuhan halal dan mesra pengguna Muslim.
Kewujudan alternatif ini menunjukkan pematuhan halal tidak menghalang inovasi industri. Sebaliknya, membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih selamat, telus dan diyakini.
Akhirnya, pengelasan gelatin sebagai bahan kritikal bukan bertujuan menyukarkan industri atau pengguna tetapi usaha memastikan bahan yang digunakan benar-benar memenuhi tuntutan halalan tayyiban. -UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Profesional Penjagaan Kesihatan, Fakulti Kesihatan & Sains Hayat, Management and Science University (MSU).










