Anggota PGA diberkas bantu siasatan kes tembak komander AKPS

Anggota PGA diberkas bantu siasatan kes tembak komander AKPS

ADZLI Abu Shah pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat koperal menjadi individu terbaharu ditahan susulan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia lingkungan 30-an yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam ditahan ketika sedang bertugas pada 5 Mac lalu.

Katanya, anggota bahagian risik terbabit juga didapati positif dadah jenis ketamin dan direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan itu. Kita percaya dia mengenali dan berkawan rapat dengan ahli kumpulan sindiket penyeludupan, Geng Pak Su.

“Dia turut dipercayai mengambil dadah bersama ahli kumpulan sindiket itu dan terbukti apabila kita tangkap, dia positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya oleh dua individu bermotosikal dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi.

Kejadian berlaku ketika Mohd. Nasaruddin memandu Proton X70 untuk menunaikan solat Subuh di masjid. Dia bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan tersasar.

Sementara itu, Adzli berkata, siasatan mendapati suspek bersama salah seorang ahli geng itu berada di sekitar lokasi kejadian kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Kita akan siasat apa sahaja maklumat yang kita peroleh dan kita tidak akan sesekali berkompromi, tidak kira lah sama ada dia anggota polis mahupun AKPS.

“Ini kerana kita percaya anasir-anasir begini, penglibatan dalam dadah akan membawa kepada ketidakpatuhan undang-undang, tiada integriti dan disiplin, menerima rasuah dan sebagainya. Sebab itu kita akan ambil tindakan,” katanya.

Setakat ini tiada pengakuan daripada anggota terbabit dan 10 suspek lain dipercayai ahli Geng Pak Su yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes itu.

“Bagi anggota itu, kita akan dapatkan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam tempoh terdekat. Dia sudah bertugas di kawasan sempadan kira-kira dua tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×