KUALA LUMPUR: Tanggapan sesetengah pihak bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah terkubur tidak benar sama sekali.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tegas kepada beberapa pemimpin seperti menggantung dan memecat keahlian mereka sebenarnya bertujuan bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu.
“Mungkin ramai yang mengikuti perkembangan yang sedang atau sudah berlaku dalam Bersatu, cuma saya ingin menyatakan bahawa tidaklah tepat bagi banyak pihak yang meramalkan Bersatu ini sudah terkubur. Jauh sekali.
“Alhamdulillah, dengan tindakan yang sudah pun kita ambil, bukan setakat mereka yang melakukan kesalahan daripada sudut politik dalam parti dihadapkan ke Lembaga Disiplin, tetapi kita juga sudah selesai mengambil tindakan penambahbaikan dalam parti kita.
“Selain itu, ada beberapa pemimpin Bersatu yang membuat pengumuman pelbagai dengan mengisytiharkan bahagian partinya sudah pun bubar, sedangkan hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) saja yang boleh berbuat demikian.
“Jadi, kenyataan yang dibuat sesetengah pihak itu tidak tepat. Tujuannya tidak lain adalah untuk memberikan gambaran kononnya kita berhadapan dengan masalah,” katanya pada Majlis Iftar Bersama Pengamal Media, malam tadi.
Beliau turut memberi keyakinan kepada Perikatan Nasional (PN) yang parti itu mampu menyelesaikan kemelut dalaman itu sendiri.
“Kita mengambil satu tindakan yang pantas untuk menyelesaikan masalah kita.
“Bila berlaku peristiwa baru-baru ini, ada kelompongan dari segi kedudukan kepemimpinan di peringkat negeri dan bahagian, sebuah jawatankuasa yang dipimpin Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil langkah pantas, agak lebih daripada jangkaan saya, cepat sekali untuk menyusun semula barisan kepemimpinan di negeri dan kawasan yang terbabit,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin turut berkata, satu Sekretariat Bersama bagi memantapkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) akan ditubuhkan, yang dianggotai Setiausaha Agung daripada lebih 10 parti di bawah gabungan yang baru dibentuk itu.
“Saya selaku salah seorang Timbalan Pengerusi PN akan membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi PN untuk mempertimbang bagaimana bentuk kerjasama yang harus kita jalin.
“Ia bukan setakat yang sudah sedia ada secara longgar saja tetapi khususnya untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Antara pertimbangan yang mungkin kita buat adalah sama ada IPR boleh menyertai PN secara langsung atau menubuhkan pakatan pilihan raya dalam masa pilihan raya,” katanya.-UTUSAN










