SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pelaburan kesuluruuhan sebanyak RM19.1 bilion pada tahun lalu sekali gus pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia menerusi 295 projek pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2024 iaitu RM7.2 bilion dengan peningkatan sebanyak 164 peratus.
“Jumlah ini juga memecahkan rekod pencapaian terbaik negeri sebelum ini iaitu pada tahun 2023 yang merekodkan pelaburan sebanyak RM10.1 bilion.
“Lebih penting, projek-projek yang diluluskan ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 3,845 peluang pekerjaan baharu sekali gus membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, sebuah syarikat pusat data merupakan pelabur domestik terbesar dengan nilai pelaburan kira-kira RM10 bilion.
Aminuddin berkata, Negeri Sembilan kini berada di tangga keenam tertinggi bagi jumlah pelaburan yang diluluskan selepas Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.
Katanya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan RM13.79 bilion manakala sektor pembuatan pula mencatatkan nilai RM5.34 bilion.
“Bagi subsektor perkhidmatan, lima penyumbang utama adalah sektor informasi dan komunikasi, hartanah, utiliti, sokongan perkhidmatan serta lain-lain industri.
“Bagi sektor pembuatan pula, antara industri utama ialah kimia dan produk kimia, elektrik dan elektronik, produk petroleum, fabrikasi logam serta pembuatan makanan,” katanya. – UTUSAN










