HARI Keselamatan Internet 2026 yang berlangsung pada bulan lalu memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam memantau dan mengawal penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak.
Selain itu, sambutan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
Hari Keselamatan Internet boleh dianggap sebagai program advokasi yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Ia merupakan inisiatif global yang menekankan amalan penggunaan internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Program berskala besar yang diadakan meliputi pelbagai peringkat umur tanpa mengira agama dan budaya serta diisi dengan pelbagai aktiviti pendidikan literasi digital.
Inisiatif anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi ini harus disambut baik serta dipuji. Bahkan, wajar diteruskan melalui hebahan berterusan di pelbagai platform media sosial khususnya untuk menyuntik kesedaran, di samping membantu orang ramai memahami langkah pencegahan berkesan bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dalam talian.
Apabila berbicara mengenai keselamatan internet, tafsirannya sangat luas dan umum. Saluran-saluran maklumat digital ini sangat penting kerana setiap daripadanya mempunyai penghuni atau ‘warganegara’ tersendiri. Kini, saluran paling meluas ialah media sosial yang dihuni oleh ‘netizen’ (net citizen). Setiap platform seperti Facebook, Instagram, X, TikTok, Threads dan terbaharu, aplikasi UpScrolled, dihuni kelompok masyarakat dari peringkat umur khusus mengikut majoriti penggunanya.
MEDIA SOSIAL DAN AI
Capaian internet melalui media sosial kini amat pantas di seluruh pelusuk dunia dengan jutaan penghuni atau ‘warganegara’nya. Jika dahulu, internet secara tradisionalnya ditafsirkan sebagai ruangan mencari rujukan melalui laman web dan berbalas e-mel dengan ruang penggunaan yang terhad melalui komputer meja dan komputer riba. Kini, internet merupakan keperluan dengan skop penggunaan yang terlalu luas melalui gajet-gajet yang mudah diperoleh.
Oleh sebab itu, isu keselamatan internet kini menjadi cabaran besar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Kehadiran teknologi AI ini memberikan impak yang positif dan negatif. Secara hakikatnya, AI boleh menjadi ancaman kepada pengguna, terutama dalam kalangan kanak-kanak, belia dan segelintir masyarakat yang mempunyai tahap literasi digital yang rendah.
Janaan AI kini membolehkan jelmaan wajah dan susuk tubuh seseorang kelihatan hampir sama dengan manusia sebenar, termasuklah dari segi peniruan suara, lenggok tubuh badan dan laras bahasa.
Penyalahgunaannya menimbulkan beberapa isu utama seperti penipuan kewangan, penyebaran maklumat palsu, pemalsuan identiti dan jenayah siber. Individu yang kurang terdedah kepada kecanggihan AI lebih mudah mempercayai kandungan palsu ini kerana sifatnya yang sangat realistik. Tahap kebolehpercayaan yang membuta tuli ini akhirnya memakan diri.
Banyak isu dan kes yang telah dilaporkan, antaranya jenayah menggunakan video deepfake tokoh terkenal. Video tersebut meniru wajah dan suara individu sebenar supaya kelihatan meyakinkan.
Selain itu, puluhan ribu kes penipuan dalam talian direkodkan setiap tahun dengan kerugian mencecah berbilion ringgit. Janaan AI seperti mesej automatik dan deepfake menjadikan penipuan ini semakin sukar dikesan.
Berdasarkan data SKMM, memaklumkan sebanyak 41,394 kandungan maklumat palsu dihasilkan AI dipadamkan daripada platform media sosial dari tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Ogos 2025. Di samping itu, sebanyak 1,005 hantaran penipuan pelaburan berbentuk deepfake turut diturunkan daripada platform yang sama dalam tempoh tersebut.

PERANAN PEMPENGARUH
Menyedari hakikat ancaman AI dan jenayah siber yang semakin meruncing ini, usaha mendidik masyarakat tidak boleh lagi bergantung secara eksklusif kepada kempen rasmi agensi kerajaan semata-mata. Di sinilah peranan pempengaruh media sosial perlu tampil ke hadapan dan diangkat sebagai duta kempen keselamatan internet.
Dengan jumlah pengikut yang mencecah ratusan ribu hingga jutaan orang, mereka mempunyai pengaruh dan kuasa yang luar biasa untuk membentuk pemikiran serta tingkah laku masyarakat, terutamanya golongan kanak-kanak dan belia yang merupakan pengguna majoriti platform digital.
Kenapa perlu melibatkan pempengaruh media sosial sebagai rakan advokasi? Pempengaruh ini bertindak sebagai Pemimpin Pendapat Utama (KOL). Suara mereka lebih mudah didengar melalui hantaran bersahaja dan santai serta maklumat disampaikan menggunakan laras bahasa mudah difahami, berbanding kempen-kempen konvensional yang kadangkala dilihat hanya bermusim.
Pempengaruh media sosial dari pelbagai segmen kepakaran seperti gaya hidup, pendidikan, teknologi, mahupun hiburan, wajar menggunakan kreativiti masing-masing untuk menyelitkan mesej kesedaran tentang bahaya ancaman siber.
Sebagai contoh, mereka boleh menghasilkan kandungan video pendek yang interaktif bagi membantu pengikut mengenal pasti mesej penipuan (scam), taktik penyamaran identiti atau ciri-ciri video janaan deepfake.
Pendekatan proaktif dan kolaborasi strategik antara pihak kerajaan, penyedia platform dan pempengaruh media sosial ini merupakan kunci utama untuk melahirkan warga digital yang lebih celik IT, berwaspada dan selamat.
Inisiatif ini juga boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) buat pempengaruh, yang secara tidak langsung memberikan nilai tambah bermakna dalam kandungan yang mereka hasilkan.
Jika ini dapat direalisasikan, objektif kempen keselamatan internet boleh tercapai dalam usaha mempromosikan penggunaan internet dan AI)secara selamat, bertanggungjawab,beretika dan berkredibiliti.
Langkah saranan ini juga elari juga dengan dengan tema kempen tersebut ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab’. –UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Calon Doktor Falsafah (PhD) (Komunikasi), Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi (MENTION), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).











