Tidak sangka kawan maut akibat sabit

Tidak sangka kawan maut akibat sabit

GURU dan rakan Adham Faisal di lokasi pelajar kolej vokasional itu terkena sabit di Teluk Intan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Saya kehilangan kawan baik satu rumah, satu kolej. Tidak sangka panggilan mengenai kemalangan pagi ini membabitkan kawan saya.”

Itu kata Fakrul Dani Irwan, 17, kawan rapat kepada pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan yang maut selepas lehernya terkena sabit dibawa seorang lelaki warga asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak di sini semalam.

Mangsa yang maut adalah pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4, Agroindustri Ternakan Poltri dikenali sebagai Adham Faisal, 18.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fakrul Dani berkata, Adham tinggal satu rumah sewa dengannya di Taman Lagenda di sini dan mereka sama-sama belajar di Kolej Vokasional Pertanian di Teluk Intan.

Menurutnya, mereka tinggal serumah enam orang termasuk arwah.

“Pagi tadi (semalam) saya keluar awal ke kelas dan arwah keluar rumah lambat sikit. Saya tunggu dia di kolej namun dia tak sampai-sampai. Tak lama kemudian ada orang bagi tahu Adham kemalangan.

“Saya bergegas ke tempat kejadian nampak arwah terbaring dan tak sangka dia telah meninggal dunia. Saya diberitahu ada orang nampak penunggang motor bawa galah pisau sabit dan mata pisau sabit kena arwah.

“Saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku. Saya kehilangan kawan yang sangat baik,” katanya.

Sementara itu, dua lelaki warga asing yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan yang maut selepas terkena sabit, direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, perintah reman sehingga Isnin depan itu diperoleh selepas suspek berusia 39 dan 52 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi tadi.

Katanya, permohonan reman itu dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini