KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong berharap kecederaan lutut kanannya tidak memerlukan pembedahan ketika dia memberi fokus kepada proses pemulihan menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini.
Pemain berusia 26 tahun yang bergandingan dengan Tee Kai Wun itu mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) separa koyak serta kerosakan meniskus dan rawan pada lutut kanan.
Wei Chong sebelum ini menerima rawatan suntikan platelet-rich plasma (PRP) menjelang Tahun Baharu Cina lalu selain menjalani proses pemulihan bersama pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN).
“Perkara paling penting sekarang adalah untuk menguatkan otot dan saya harap tidak perlu menjalani pembedahan.
“Harapnya tiada pembedahan diperlukan tetapi saya perlu terus memberi fokus kepada latihan penguatan otot bagi memastikan lutut kembali stabil,” kata Wei Chong selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.
Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, Wei Chong tetap mempamerkan semangat juang tinggi apabila turun beraksi pada Kejohanan Badminton All England 2026 di Birmingham minggu lalu.
Gandingan ranking keenam dunia itu berjaya mara ke suku akhir sebelum langkah mereka terhenti selepas tewas kepada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Sebaik sahaja saya masuk ke gelanggang, saya tidak memikirkan sama ada saya cedera atau tidak kerana saya hanya mahu memberikan yang terbaik.
“Saya tidak begitu merasai kesakitan ketika perlawanan tetapi selepas tamat aksi ada sedikit ketidakselesaan dan itu perkara biasa,” katanya. – UTUSAN










