Malakoff, TNB tandatangan perjanjian pembelian tenaga 4 tahun

Malakoff, TNB tandatangan perjanjian pembelian tenaga 4 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad mengumumkan anak syarikat miliknya sepenuhnya, Prai Power Sdn. Bhd., telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi melanjutkan operasi Loji Janakuasa Prai di Prai.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, perjanjian baharu itu menyediakan lanjutan operasi loji selama empat tahun, bermula 1 April 2026 sehingga 31 Mac 2030.

“Loji Prai mempunyai kapasiti 350 megawatt menggunakan teknologi turbin gas kitaran gabungan (CCGT).

“Perjanjian baharu ini juga akan mengawal penghasilan serta penjualan elektrik selain memastikan ketersediaan kapasiti penjanaan yang dibekalkan kepada TNB.

“Perjanjian terkini ini dibuat susulan tamatnya PPA asal loji selama 21 tahun pada 19 Jun 2024.

“Selepas kontrak tersebut berakhir, operasi loji diteruskan di bawah lanjutan jangka pendek satu tahun bersama TNB sehingga 31 Ogos 2025,” katanya.

Malakoff berkata, lanjutan empat tahun itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kestabilan operasi dan prestasi loji, berikutan rekod prestasi jangka panjangnya dalam penjanaan tenaga.

“PPA baharu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih Malakoff sepanjang tempoh kontrak,” ujarnya.

Lanjutan ini dilaksanakan ketika permintaan elektrik terus meningkat, didorong oleh pengembangan sektor perindustrian, pendigitalan serta pertumbuhan sektor intensif tenaga seperti pusat data.

Stesen janakuasa CCGT seperti PPP terus memainkan peranan penting dalam menyediakan kapasiti penjanaan yang boleh dipercayai dan fleksibel, di samping menyokong peralihan Malaysia ke arah campuran tenaga yang lebih rendah karbon.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Tan Sri Samsudin berkata, lanjutan tersebut mengukuhkan peranan berterusan syarikat dalam menyokong keperluan tenaga negara yang semakin berkembang.

“Permintaan elektrik di Malaysia terus meningkat, khususnya dengan perkembangan industri seperti pusat data yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai.

“Pelaksanaan PPA ini membolehkan PPP menyambung semula operasinya serta terus menyumbang kapasiti penjanaan yang boleh diharap kepada grid nasional.

“Dengan rekod operasi yang terbukti, stesen ini berada pada kedudukan yang baik untuk terus menyokong grid apabila permintaan elektrik terus berkembang.

“Lanjutan ini juga membolehkan kami memanfaatkan infrastruktur sedia ada serta kepakaran operasi untuk terus membekalkan tenaga yang boleh dipercayai ketika negara secara beransur-ansur meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharunya,” jelasnya.

Seiring dengan perjalanan transformasi Malakoff, pelaksanaan PPA ini mencerminkan tumpuan berterusan syarikat dalam memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai.

Ini di samping menyokong aspirasi jangka panjang Malaysia dalam peralihan tenaga, selaras dengan tujuan Malakoff iaitu Enhancing Life, Enriching Communities. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×