Adik pimpin syahadah, pangku abang hingga hujung nyawa - Utusan Malaysia

Adik pimpin syahadah, pangku abang hingga hujung nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Allahyarham Mohd. Nor Salihin, 37, yang maut selepas kereta dipandunya merempuh jengkaut di Kilometer 70, Jalan Kota Tinggi-Kluang malam semalam meninggal dunia di pangkuan adiknya.

Umi Qurratul Ain Salihin, 20, berkata, dia turut berkesempatan memimpin abangnya mengucapkan kalimah syahadah beberapa kali sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, kemalangan itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Taman Gunung Lambak selepas berbuka puasa di di Bandar Tenggara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami naik dua kereta berasingan, abang bersama dua anak tirinya, Nawwal Husna, 7, dan Isyah Radiah Mohd. Aizam, 10. Manakala saya dengan kakak ipar (isteri abang) Noradilah Abd. Aziz, 34, serta ibu mentua, Siti Aisah Yusof, 63.

“Abang gerak dahulu dan jarak antara kereta kami agak jauh. Secara tiba-tiba kakak ipar yang sedang memandu memperlahankan kenderaan kerana ada kemalangan, apabila sudah hampir baru kami sedar siapa yang kemalangan.

“Tanpa buang masa, kakak ipar berhentikan kereta di tepi jalan sebelum bergegas ke arah kereta suaminya yang sedang terbakar. Saya dengar jeritan kakak ipar, ‘suami aku…suami aku…,” katanya kepada pemberita.

Tambah penuntut diploma di Kolej Vokasional Kota Tinggi itu, orang ramai membantu mengeluarkan mangsa-mangsa kemalangan termasuk dengan memecahkan cermin depan kereta tersebut ketika kereta itu masih terbakar.

“Setelah abang dikeluarkan, saya lihat kaki kirinya sudah melecur sebelum saya terus memangkunya. Ketika itu dia masih bernyawa, saya terus ajarnya mengucap beberapa kali sambil memanggil namanya tetapi tiada jawapan.

“Saya hanya tahu abang sudah tiada apabila anggota bomba yang tiba di lokasi kemudian telah menutup wajah abang saya menggunakan jaket miliknya sendiri,” katanya lanjut.

Umi Qurratul turut memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi walaupun kejadian tersebut merupakan kali kedua mereka sekeluarga hilang orang tersayang dalam waktu terdekat.

“Pada 8 Februari lalu, ayah meninggal, kini abang pula menyusul. Arwah sangat baik orangnya, selepas ayah meninggal abang yang menggalas sepenuhnya tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini