PETALING JAYA: Satu kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Pulau Pinang tumpas apabila lima lelaki tempatan ditahan pada 15 Februari lalu.
Penahanan kesemua suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun dilakukan menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Shadow oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan berkenaan dipercayai diketuai seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dengan keahlian seramai lapan orang yang berumur antara 22 hingga 35 tahun.
Menurutnya, kumpulan terbabit mula aktif sejak 2024 hingga Oktober 2025 dan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 42 kes pecah rumah di sekitar Pulau Pinang dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
“Lima suspek yang ditahan kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Manakala tiga lagi ahli kumpulan telah dikenal pasti dan sedang menjalani hukuman di Penjara Jawi, Pulau Pinang serta Penjara Alor Setar, Kedah atas kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk rompakan berkumpulan, pecah rumah, curi dalam bangunan, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan, khianat serta memiliki dan melupuskan barangan curi selain terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menurut Kumar, kumpulan itu menyasarkan rumah di kawasan perumahan mewah berpagar serta mempunyai kawalan keselamatan selain kawasan perumahan biasa.
“Mereka akan memecah masuk rumah sebelum menggeledah dan melarikan barangan berharga seperti barang kemas, barangan elektronik, wang tunai serta barangan lain yang mudah dilupuskan bagi mendapatkan keuntungan material,” katanya.
Kumar berkata, hasil tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 42 kes serta melumpuhkan satu sindiket pecah rumah yang aktif di Pulau Pinang.
Katanya, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 6 Mac lalu dan pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh kesemua lapan ahli kumpulan berkenaan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang esok,” jelasnya
Kumar menegaskan, PDRM akan terus komited membanteras sebarang bentuk jenayah terancang melalui operasi bersepadu, risikan dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan demi menjamin keselamatan masyarakat. – UTUSAN










