PETALING JAYA: Konflik di Asia Barat yang semakin meruncing membawa implikasi global disebabkan harga bahan tenaga seperti minyak mempengaruhi kadar inflasi dan kos pinjaman.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun, berdasarkan prestasi ekonomi negara pada tahun lalu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus, ia dijangka menjadi penampan negara daripada ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun lalu itu juga dijangka membantu mengukuhkan prestasi ekonomi negara pada suku tahun pertama ini.
“Bagaimanapun, bagi Malaysia, kerajaan sedang menguruskan keadaan itu dan memantau rapi perkembangan di Asia Barat.
“Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih meletakkan negara dalam kedudukan yang baik walaupun harga minyak melonjak melebihi AS$100 setong hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN Kedua bertemakan ‘Mengemudi Perbankan dalam Era GeoEkonomi Baharu: Memperkukuh Kepercayaan, Teknologi, Bakat, Transformasi’.
Harga minyak global telah meningkat dengan ketara selepas ketegangan di Asia Barat memuncak sejak minggu lalu, dengan minyak mentah Brent kini diniagakan pada AS$115.4 setong berbanding kira-kira AS$70 setong minggu lalu.
Amir Hamzah berkata, defisit fiskal negara semakin mengecil ke arah sasaran tiga peratus di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal manakala ringgit semakin mengukuh.
Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan pada tahun lalu melebihi unjuran kerajaan dengan permintaan domestik kekal berdaya saing dan pelaburan terus melonjak.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan cuba mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter untuk tempoh dua bulan akan datang.
“Ini kerana kita mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, bagi pasaran terbuka, harga minyak semasa (global) akan disalurkan terus kepada harga di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak di negara ini kekal stabil dan gangguan bekalan tidak akan berlaku.
Terdahulu dalam ucaptama beliau, Amir Hamzah berkata konflik geopolitik yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran telah berubah daripada krisis yang terkawal kepada konflik serantau yang membawa kesan global.
Menurutnya serangan balas di sekitar Teluk menandakan ketidakstabilan yang semakin meningkat, dengan impak segera terhadap sektor kewangan dan ekonomi global secara keseluruhan.
“Harga tenaga memberi kesan secara langsung kepada inflasi, kos pinjaman dan pengiraan risiko kredit oleh bank setiap hari.
“Gangguan rantaian bekalan turut menjejaskan peminjam yang dibiayai oleh bank,” katanya.
Amir Hamzah berkata, ketidakstabilan geopolitik juga boleh membentuk semula minat syarikat multinasional untuk melabur di negara-negara yang sedang berusaha menarik pelaburan, termasuk Malaysia.
“Apabila laluan tenaga menghadapi ancaman dan koridor perdagangan menjadi kawasan pertikaian, semua ekonomi di ASEAN merasakan kesannya,” katanya. – UTUSAN










