PETALING JAYA: Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bersedia kembali bersama UMNO dan menyokong pelaksanaan Rumah Bangsa sekiranya parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP.
Beliau berkata, pendirian tersebut berasaskan prinsip perjuangan parti yang perlu dipertahankan khususnya berkaitan kepentingan Islam serta hak orang Melayu yang menjadi asas perjuangan UMNO.
Katanya, perbezaan pendekatan dalam beberapa perkara termasuk isu pendidikan dan hak orang Melayu menjadi antara punca beliau tidak bersetuju dengan kerjasama politik antara UMNO dan DAP.
“Jiwa saya memang UMNO. Saya boleh kembali ke UMNO dengan syarat UMNO tidak bekerjasama dengan DAP. Itu prinsip saya.
“Masa UMNO hendak bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi. Saya beritahu perkara itu kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi. Pada masa itu saya memang tidak setuju kerana parti ini berdasarkan prinsip perjuangan.
“Perjuangan UMNO adalah untuk Islam dan juga hak-hak orang Melayu. Jika dibandingkan dengan DAP, prinsip perjuangan mereka berbeza termasuk dalam soal pendidikan seperti isu sekolah dan juga berkaitan hak-hak Melayu. Jadi dari segi perjuangan dan prinsip, UMNO dengan DAP memang berbeza,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keterbukaan pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk kembali bersama parti itu.
Pintu penyatuan tanpa syarat itu dibuka kepada yang pernah dipecat atau digantung termasuk mana-mana individu yang ingin bersama semula dengan perjuangan UMNO.
Mengulas lanjut, Noh Omar berkata, UMNO perlu menghidupkan semula semangat kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Pas bagi memperkukuh sokongan orang Melayu dan Islam.
Katanya, pendekatan tersebut lebih selari dengan asas perjuangan parti selain mampu mengembalikan keyakinan penyokong terhadap UMNO.
“UMNO kena kerjasama dengan Pas dan naikkan semula semangat Muafakat Nasional.
“Bagi saya, biarlah kita kalah sekalipun atau menjadi pembangkang, tetapi pembangkang yang bermaruah,” katanya. – UTUSAN










