SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menghimpunkan komuniti, alumni, pelajar, dan 32 anak yatim yang menerima sumbangan dalam suasana penuh kemesraan menerusi program Sentuhan Kasih Ramadan yang diadakan bersama Surau Al-Ansor, Seksyen 2 Shah Alam.
Antara pengisian utama program adalah termasuk rewang bubur lambuk secara gotong-royong, pemeriksaan mata percuma, sesi ilmu Ramadan dan kesihatan, serta perkongsian industri dan alumni bersama komuniti oleh ICAN UiTM.
Program ini turut dijayakan melalui kerjasama beberapa pihak di UiTM termasuk Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM dan Pejabat Komunikasi Strategik UiTM dan dibantu oleh 16 sukarelawan pelajar UiTM untuk menyediakan bubur lambuk kepada penduduk sekitar Shah Alam.
Seramai 27 anak yatim dan lima penjaga menerima sumbangan duit raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,720. Daripada jumlah itu, RM1,600 disumbangkan oleh UiTM menerusi Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah UiTM, manakala RM5,120 lagi disumbangkan oleh Syrna Setara Resources Sdn. Bhd.
Yang turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, serta Pengerusi Surau Al-Ansor Seksyen 2 Shah Alam, Datuk’ Pahlawan Zakaria Yusof, bersama barisan pengurusan kanan universiti, wakil industri serta komuniti setempat.
Shahrin berkata, kerjasama ini memainkan peranan yang signifikan bagi menggalakkan hubungan strategik antara universiti, komuniti, industri dan alumni.
“Sokongan daripada rakan industri, alumni dan komuniti amat penting dalam memastikan usaha sebegini dapat diteruskan secara berterusan. UiTM amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi.
Program diakhiri dengan program berbuka puasa, solat Maghrib, solat tarawih dan bermoreh bersama komuniti. Melalui inisiatif seperti ini, UiTM berharap agar hubungan erat antara universiti, komuniti, industri dan alumni akan terus diperkukuhkan. – UTUSAN










