PETALING JAYA: Isteri kepada aktivis sosial, Amri Che Mat, Norhayati Ariffin memfailkan hujahan di Mahkamah Tinggi bagi membantah permohonan kerajaan menangguhkan pembayaran pampasan lebih RM3 juta kepada keluarganya pada November 2025.
Kerajaan selaku defendan memfailkan permohonan penangguhan itu pada 8 Januari lalu, sementara menunggu proses rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Peguam Surendra Ananth berkata, anak guamnya selaku plaintif berusaha menyelesaikan perkara itu secara baik melalui cadangan penangguhan bersyarat.
“Kami menawarkan penangguhan pembayaran ganti rugi dan kos sambil meneruskan siasatan serta komponen liabiliti dalam keputusan itu.
“Namun, pihak kerajaan menolak cadangan ini sepenuhnya tanpa memberikan sebarang alasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Peguam itu berkata, permohonan penangguhan berkenaan dilihat sebagai cubaan melengahkan proses siasatan semula terhadap kes penculikan suaminya.
“Plaintif bimbang tiada tindakan untuk memulakan siasatan sewajarnya ke atas kehilangan suaminya dan bagaimana permohonan penangguhan perintah itu akan terus melengahkan proses ini,” katanya.
Pendengaran bagi permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zalita Zaidan pada pukul 2 petang, 11 Mac ini.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri pada 24 November 2016 serta mengarahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3.26 juta kepada isterinya.
Ganti rugi itu merangkumi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi khas RM14,457.52 dan kos prosiding RM250,000, selain faedah yang turut diberikan kepada plaintif.
Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri serta melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Amri yang merupakan pengasas NGO Perlis Hope dilaporkan hilang selepas meninggalkan rumahnya kira-kira pukul 11.30 malam pada 24 November 2016, sebelum keretanya ditemukan di tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis pagi keesokannya. – UTUSAN










