KUALA LUMPUR: Penduduk bangunan strata berketumpatan tinggi diingatkan supaya tidak berlindung di dalam bilik air ketika berlaku kebakaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bilik air bukan tempat selamat kerana ruang itu biasanya mempunyai pengudaraan terhad, selain tiada laluan keluar sekiranya terperangkap.
Katanya, kebanyakan mangsa kebakaran yang ditemui meninggal dunia di dalam bilik air disebabkan terhidu asap dan bukannya kerana melecur.
“Tandas bukan tempat selamat ketika kebakaran. Ini yang saya nak highlight kerana kebanyakan mangsa kebakaran meninggal dunia akibat terhidu asap. Kita fokus bilik air kerana banyak mangsa ataupun mayat dijumpai dalam bilik air.
“Tandas biasanya mempunyai pengudaraan yang sangat terhad. Asap tebal boleh masuk dan memenuhi ruang dalam masa singkat menyebabkan mangsa boleh pengsan dalam beberapa minit sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar taklimat memperkukuh keselamatan kebakaran di bangunan strata di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengikut statistik, sebanyak 68 kes kebakaran bangunan strata direkodkan pada tahun 2023, sebelum meningkat kepada 75 kes pada 2024 dan 86 kes tahun lalu.
Daripada jumlah itu, kes kematian akibat terperangkap di dalam bilik air merekodkan tiga kes pada 2024 dan meningkat kepada lima kes 2025.
Tambah Hannah, badan pengurusan bangunan seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) juga perlu bertanggungjawab memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan secara berkala.
“Pihak pengurusan digalakkan untuk bekerjasama rapat dengan jabatan bomba dan boleh menghubungi mereka bagi mendapatkan panduan lanjut.
“Penduduk digalakkan memainkan peranan dengan mengingatkan serta berinteraksi secara aktif dengan pihak JMB ataupun MC bagi memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan secara berkala,” katanya. – UTUSAN











