KUALA TERENGGANU: “Allahyarham seorang abang yang sangat bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga, terutama menjaga adik-adiknya.”
Demikian kata bapa kepada Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, remaja lelaki yang ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang Khamis lalu ketika dalam perjalanan bercuti ke Cameron Highlands, Pahang bersama keluarganya.
Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, anak sulungnya itu seorang yang boleh diharap dan sering membantu keluarga termasuk melakukan kerja rumah serta memasak.
“Dia anak sulung, memang seorang yang bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga, terutama menjaga adik-adiknya. Di rumah, dia suka memasak dan selalu membantu kerja-kerja rumah.
“Memang boleh diharap dan tidak banyak kerenah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Ahmad Azhar berkata, kehilangan anaknya itu sangat dirasai oleh adik-beradik Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen namun mereka reda dengan ketentuan Illahi.
“Saya pasrah atas ketentuan ini, lagi pun dia pergi pada bulan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Azhar berkata, mereka tidak menyangka kata-kata arwah yang tidak mahu membeli baju raya tahun ini adalah petanda remaja itu pergi buat selama-lamanya.
Katanya, Allahyarham pernah memberitahu perkara itu kepada ibunya, Zaleha Awang, namun mereka mengganggap ia perkara biasa.
“Tiada perubahan pelik berlaku pada arwah. Cuma menurut ibunya, arwah ada beritahu tidak mahu membeli baju raya tahun ini. Tetapi bagi saya itu perkara biasa kerana dia memang jenis yang suka beli baju raya pada saat akhir dan memilih sendiri warna yang dia suka,” katanya.
Ahmad Azhar berkata, anak sulungnya itu baru memulakan pekerjaan selepas menamatkan latihan praktikal dalam bidang kulinari.
Menurutnya, Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen sebelum ini mengikuti kursus kulinari selama kira-kira enam bulan di sebuah institusi di bawah Food Institute of Malaysia (FIM) yang turut merangkumi latihan praktikal selama tiga bulan.
“Ketika di penghujung praktikal, dia buat dua kerja kerana dia memang rajin. Dari pukul 4 petang hingga 12 malam, dia sambung kerja lain pula di kedai makan,” katanya.
Menurutnya nya, arwah pernah ditawarkan untuk menyambung pengajian namun memilih untuk bekerja terlebih dahulu bagi mencari pengalaman selain mengumpul wang.
“Kami ada suruh dia sambung belajar, tetapi dia kata mahu cari pengalaman kerja dahulu dan kumpul duit. Dia juga ada hasrat untuk membeli motosikal. Motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu baru dibeli kira-kira dua bulan lalu. Dia bekerja kuat kerana mahu membeli sendiri motosikal,” katanya. – UTUSAN











