PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam ucapan takziah mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia atas pemergian Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai antara pemikir terulung yang pernah hidup di zaman ini.
“Saya amat berdukacita apabila mendapat khabar tentang pemergian Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau, dalam apa juga ukuran, merupakan salah seorang pemikir teragung pada zaman kita.
“Seorang ahli falsafah yang bukan sahaja bertanya apa yang kita tahu, tetapi juga untuk apa pengetahuan itu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham banyak menerbitkan karya-karya berpengaruh antaranya Islam dan Sekularisme serta karya agungnya iaitu Prolegomena of the Metaphysics of Islam.
“Beliau mencabar proses pensekularan ilmu dan membina asas intelektual bagi pandangan alaman Islam. Malaysia mendengar beliau. Dunia Islam juga mendengar beliau,” katanya.
Anwar berkata, Allahyarham meninggal dunia pada malam ke-19 Ramadan ketika berusia 95 tahun.
Katanya, Allahyarham melalui satu kehidupan yang penuh bermakna dan pemergiannya pula penuh dengan kemuliaan.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga beliau serta kepada semua yang pernah menuntut ilmu daripadanya.
“Semoga Allah mengurniakan rahmat-Nya kepada beliau dan menempatkannya di darjat tertinggi dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” katanya. – UTUSAN










