Sistem kelulusan projek awam perlu reformasi

Sistem kelulusan projek awam perlu reformasi

TAPAK pembinaan. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBAHARUAN menyeluruh dalam prosedur pelaksanaan projek, khususnya melibatkan perancangan, kelulusan reka bentuk dan perolehan, sangat penting bagi memastikan projek awam dapat disiapkan dalam tempoh sekitar dua tahun melalui pendekatan Fast Track.

Kelewatan projek bukan semata-mata berpunca daripada kaedah pembinaan di tapak, sebaliknya turut melibatkan proses membuat keputusan oleh perunding binaan seperti arkitek dan jurutera, khususnya apabila berlaku perubahan kerja semasa pembinaan.

Pengurus Projek Emartech Resources Sdn. Bhd., Mahanom Mohammad berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pelaksanaan projek terganggu apabila keputusan teknikal yang diperlukan tidak dibuat dengan segera.

“Selain teknik pembinaan, kelewatan juga berlaku apabila keputusan oleh perunding binaan mengambil masa, terutama apabila terdapat perubahan kerja di tapak ketika proses pembinaan sedang berjalan

“Aliran tunai kontraktor juga menjadi antara faktor yang mempengaruhi kelancaran pelaksanaan projek apabila bayaran diterima lewat berbanding polisi sedia ada kerajaan yang menetapkan tempoh bayaran dalam masa tujuh atau 14 hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pembangunan satu papan pemuka (dashboard) nasional yang boleh diakses oleh kontraktor, perunding dan pemilik projek turut dicadangkan bagi meningkatkan ketelusan data berkaitan prestasi projek.

“Melalui sistem itu, status projek yang diletakkan di bawah pendekatan Fast Track boleh dipantau secara berpusat termasuk melibatkan kelulusan, perubahan kerja (variation order), laporan ketidakpatuhan (NCR), bayaran projek serta isu utiliti.

“Walaupun teknologi canggih digunakan, masih terdapat pelbagai isu dalam sektor pembinaan yang perlu diselesaikan melalui proses tradisional seperti mendapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan.

“Isu kelulusan ini sering menjadi bottleneck yang menyebabkan projek mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.

“Namun apabila data projek lebih telus dan dapat dipantau secara berpusat, kekangan tersebut dapat dikenal pasti dengan lebih cepat sekali gus memudahkan penyelesaian dilaksanakan,” katanya.

Mahanom Mohammad berkata, banyak projek rumah terbengkalai atau tidak siap masih menggunakan pendekatan tradisional yang kurang tersusun.

“Sebab itu, pendekatan Fast Track bukan sahaja relevan untuk projek kerajaan, malah boleh dijadikan contoh dalam pengurusan projek perumahan.

“Dengan perancangan sistematik menggunakan teknologi seperti IBS, modular system dan perancangan digital, tempoh pembinaan boleh dipendekkan, risiko kelewatan dikurangkan, dan kualiti lebih konsisten.

“Usaha kerajaan melalui program seperti Jom Bina Sempurna juga membantu orang ramai memahami bahawa pembinaan rumah bukan sekadar memilih kontraktor, tetapi memastikan projek dirancang dengan kaedah betul, teknologi sesuai dan mematuhi standard industri,” katanya.

Dalam masa sama, penggunaan teknologi pembinaan moden yang mampu mempercepatkan pelaksanaan projek masih belum meluas di negara ini.

“Di peringkat global, pelbagai teknologi digunakan dalam sektor pembinaan termasuk robotik, realiti maya, realiti terimbuh (augmented reality), kerjasama berasaskan awan, pengimbasan tiga dimensi (3D), Internet Kebendaan (IoT) serta analitik data besar.

“Bagaimanapun, penggunaan teknologi berasaskan digital dalam industri pembinaan tempatan masih terhad kerana ia tidak diwajibkan selain kos pelaksanaan yang tinggi serta terdapat teknologi luar yang kurang sesuai dengan budaya dan standard pembinaan negara,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa langkah bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam industri pembinaan termasuk menyediakan bantuan modal bagi perolehan aset teknologi yang memerlukan kos tinggi.

“Selain itu, pembangunan inovasi tempatan yang benar-benar sesuai digunakan dalam projek pembinaan juga dilihat penting bagi memastikan teknologi tersebut dapat diaplikasikan secara lebih meluas.

“Kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada kontraktor yang menggunakan kaedah seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Pra-Cetak Modular (MPS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×