Kaut RM3,500 seorang hantar pulang PATI Myanmar

Kaut RM3,500 seorang hantar pulang PATI Myanmar

KAMAL Mohamad (kiri) menyoal siasat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar mengaut untung sebanyak RM3,500 untuk seorang bagi menguruskan penghantaran warga asing itu pulang ke negara asal mereka melalui perairan Kelantan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, maklumat itu diperoleh selepas menahan seorang tekong darat dan 16 PATI warga Myanmar termasuk lima wanita di tebing Sungai Kampung Kijang, Kota Bharu, dekat sini kira-kira pukul 6 pagi kelmarin.

Katanya, siasatan mendapati, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran tersebut kepada PATI yang bekerja di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang untuk pulang ke Myanmar melalui jalan laut.

“Sebahagian daripada PATI yang ditahan itu disyaki berada di negara ini tanpa dokumen sah bagi tempoh satu hingga empat tahun selepas bekerja di restoran atau kedai runcit dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan.

“Selain itu, seorang PATI berusia 24 tahun yang ditahan memaklumkan bahawa dia ingin pulang ke Myanmar bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali di sini, hari ini.

Kamal berkata, siasatan lanjut mendapati, tekong darat berusia 36 tahun membawa semua PATI itu ke Kelantan melalui jalan darat sebelum mereka dibawa menaiki bot.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut mengesan pergerakan bot mencurigakan di kawasan Sungai Kampung Kijang.

“Pasukan operasi mengejar bot berkenaan sebelum ia dipecut ke laluan sungai yang sempit dan cetek. Anggota Maritim Malaysia Kelantan yang berada di darat  memintas pergerakan seorang tekong dan semua PATI itu.

“PATI yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 tahun hingga 51 tahun dan mereka didapati sedang dalam perjalanan pulang ke negara asal menggunakan perairan Kelantan selepas pangkalan haram di Sungai Golok dikawal ketat oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Kamal berkata, seorang tekong yang juga berperanan sebagai ‘transporter’ dipercayai menerima upah sebanyak RM250 untuk satu perjalanan membawa PATI.

Katanya, disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/1963. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×