Siasatan babit ideologi keganasan perlukan masa

Siasatan babit ideologi keganasan perlukan masa

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Polis memerlukan tempoh siasatan yang lebih lama bagi melengkapkan proses pengumpulan bukti serta kerjasama risikan dengan pihak luar dalam kes membabitkan ancaman keselamatan dan keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun tangkapan dilakukan terhadap remaja bawah umur, prosedur sama di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetap diperlukan.

Katanya, beliau meletak kepercayaan penuh kepada polis yang telah lama menjalankan intipan perisikan sebelum hanya melakukan penangkapan sejak dua minggu lalu apabila berjaya mengesahkan kewujudan elemen itu.

“Dalam konteks ancaman keselamatan terutama yang mengambil pendekatan keganasan, tentunya polis memerlukan tempoh lebih panjang untuk melengkapkan siasatan terutama kalau melibatkan gerakan serantau.

“Kita terpaksa menghubungi pihak berkuasa negara jiran dan mereka kemudian harus melakukan pemprofilan bagi mengesahkan pula maklumat perisikan kita.

“Kalau melibatkan pula beberapa pelaku yang berpangkalan di luar negara, jadi proses ini tak mungkin selesai dalam tempoh dua, tiga hari reman,” katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026, malam tadi.

Beliau mengulas penahanan enam individu termasuk tiga remaja bawah umur berusia 16 hingga 21 tahun yang disyaki pengikut Islamic State (IS) yang menyebarkan ideologi radikal, merekrut ahli baharu serta mempromosi bahan propaganda secara dalam talian.

Penahanan tiga remaja terbabit di bawah SOSMA mengundang kritikan pejuang hak asasi yang mempertikai tangkapan mengikut akta berkenaan terhadap mereka.

Sementara itu, ujar Saifuddin, purata umur individu termasuk remaja bawah umur yang ditahan dalam kes tersebut juga sedar dan mengetahui risiko penglibatan mereka dalam aktiviti berorientasikan keganasan.

“Ideologi berteras keganasan didorong rasa tidak puas hati kelompok ini apabila mereka rasa apa yang berlaku dalam dunia hari ini termasuk dalam negara kita berbeza dengan ideologi yang dia dapat daripada media sosial, ini yang mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat tentang aliran ideologi itu.

“Jadi bila dia mengikuti trend ini, kemudian dia tengok dunia realiti sebenar, dia rasa terlalu banyak percanggahan. Jadi nak mewajarkan tindakan keganasan itu, dia melihat bahawa jalan yang betul mengikut kefahaman mereka adalah menyertai pergerakan yang berorientasikan keganasan,” katanya.

Saifuddin berkata, situasi itu amat bahaya terhadap negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama serta budaya yang sudah lama hidup dalam keadaan aman damai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×