WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump secara rasmi mengeluarkan Syria daripada senarai Negara Penaja Keganasan (SST) kelmarin, yang membuka sekatan eksport dan membolehkan Amerika Syarikat (AS) menyalurkan bantuan ketenteraan kepada negara itu.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pihaknya turut menggugurkan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) daripada senarai Pengganas Global yang Ditetapkan Khas.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, yang sebelum ini dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani, merupakan bekas pemimpin HTS, kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.
“Langkah ini merupakan satu lagi langkah bersejarah oleh Presiden Trump untuk memberi rakyat Syria laluan ke arah kemakmuran,” kata Rubio dalam satu kenyataan.
Keputusan itu dibuat selepas Israel mengebom pangkalan udara Abu al-Duhur di Syria minggu lalu. Ia meningkatkan ketegangan antara Washington dan Damsyik serta Turkiye, penyokong utama Syria.
Duta AS ke Turkiye merangkap utusan ke Syria, Tom Barrack dalam satu temu bual minggu lalu menyifatkan serangan itu sebagai ‘serius dan membimbangkan’, malah menganggap Israel cuba memprovokasi Turkiye supaya terjerumus dalam peperangan.
AS sebelum ini memberi isyarat mengenai hasratnya untuk mengeluarkan Syria daripada senarai negara yang menjadi penaja keganasan.
Trump secara rasmi memulakan proses itu bulan lalu, yang dianggap antara hasil paling penting daripada lawatannya ke sidang kemuncak NATO di Ankara, Turkiye, apabila beliau bertemu Sharaa di luar mesyuarat rasmi.
Pertemuan itu sendiri dianggap satu kejayaan bagi Sharaa, yang pertama kali diperkenalkan kepada Trump lebih setahun lalu di Riyadh, sebelum beliau akhirnya berada di Rumah Putih dan bertukar cenderamata dengan Presiden AS itu.
Sementara itu, Sharaa menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Trump dan semua negara sahabat serta negara yang memberikan sokongan yang telah berdiri bersama Syria.
Syria dimasukkan ke dalam senarai hitam pada 1979 ketika negara itu diperintah Hafez al-Assad, bapa kepada Bashar al-Assad yang meletak jawatan pada Disember 2024. Ketika Perang Dingin, Syria menerima bantuan kewangan dan ketenteraan daripada Kesatuan Soviet. – AGENSI











