KUALA LUMPUR: UMNO bukan sahaja membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas ahlinya yang dipecat dan digantung supaya kembali ke pangkuan parti bahkan turut memberi peluang kepada ahlinya yang ‘lari’ daripada perjuangan sebelum ini untuk berbuat demikian.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semalam, satu mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin susulan menerima banyak permintaan untuk menerima semula ahlinya yang dipecat, digantung atau belum berkesempatan menyertai parti.
Namun, beliau berkata, sempena bulan Ramadan ini, beliau berlapang dada untuk memperluaskan jemputan itu termasuk kepada bekas ahli yang meninggalkan parti sebelum ini.
“Hasil daripada mesyuarat diadakan itu, saya telah mengeluarkan kenyataan tadi (membuka pintu penyatuan tanpa syarat).
“Kita berbaik sangka dengan semua pihak dan mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan ummah bangsa sebagai satu wadah bagi penyatuan semula ummah terutamanya untuk yang pernah menjadi (ahli) dan berminat sertai UMNO dalam waktu terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita sebaik saja selesai menghadiri Sesi Pertemuan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Menara Felda, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa UMNO sudah mempunyai senarai bekas-bekas ahlinya yang memohon untuk kembali ke pangkuan parti namun enggan mendedahkannya buat masa ini.
“Senarai tak perlulah dikongsikan, nanti tiba masanya kita akan umumkan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Beliau berkata, pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO. – UTUSAN










