Vivy Yusof, suami dapat passport sementara buat visa haji

Vivy Yusof, suami dapat passport sementara buat visa haji

VIVY Yusof (kiri) dan suami, Fadzarudin Shah Anuar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar berjaya mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi membolehkan pasangan itu membuat visa untuk menunaikan haji.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasangan itu mendapatkan pasport bermula hari ini selepas permohonan dikemukakan oleh peguam bela yang mewakili mereka, Shaarvin Raaj.

“Mahkamah membenarkan pasport antarabangsa pemohon diserahkan bermula hari ini dan kedua-dua pemohon perlu menyerahkan semula kepada mahkamah pada 9 Mac ini,” kata Hakim Rosli di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu, Shaarvin berkata, selepas visa diperolehi, pemohon-pemohon akan menempah tiket untuk ke Mekah bagi menunaikan haji.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazawani Mohamad Sobry berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai permohonan pasport berkenaan dan tidak membantah permohonan pasangan suami isteri tersebut.

Sebelum ini, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn. Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Damansara, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018, yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×