Malaysia maju dengan perpaduan, integriti

Malaysia maju dengan perpaduan, integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK mencapai kemerdekaan, bangsa Malaysia yang terbina dari pelbagai kaum dengan bangsa Melayu sebagai terasnya menanamkan cita-cita dan tekad untuk merealisasikan segala harapan murni (visi dan misi) negara untuk menjadikan negara ini progresif, dinamik, maju serta hidup sejahtera, harmoni dan bersatu padu.

Rakyat berusaha dan bekerja mencapai cita-cita murni itu atas semangat patriotisme yang tinggi. Kerajaan dan rakyat saling bekerjasama menjayakan cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara bangsa yang berjaya dan dihormati di pentas global.

Mahu tidak mahu kita harus akui kerajaan yang bermula dari Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara telah memperkenal dan melaksana pelbagai dasar dan program pembangunan, menjadikan negara maju dan rakyat hidup sejahtera dengan menikmati kehidupan yang berkualiti.

Kemajmukan kaum, budaya dan agama menjadi kekuatan untuk menjana segala potensi yang ada pada setiap kaum untuk hidup harmoni dan bersatu padu.

Amalan permuafakatan, toleransi dan perundingan sentiasa diamalkan antara kaum. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 dijadikan ikhbar oleh seluruh rakyat betapa pentingnya hidup bersatu dan tidak bersikap ekstrem dalam soal-soal kaum mahupun agama. Semuanya diterapkan dalam pentadbiran BN yang terdiri daripada parti-parti pelbagai kaum yang membawa pemikiran moderat.

Pendekatan moderat inilah yang benar-benar menjayakan usaha ‘kejuruteraan sosial’. Kesannya, negara maju fasa demi fasa dan perpaduan serta integrasi nasional tercapai dengan baik.

Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Nasional, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Perpaduan dan Integrasi Nasional, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan pelbagai lagi dasar bertujuan membentuk masyarakat yang bersatu, demokratik, liberal, progresif, saintifik, adil serta saksama. Kesannya, negara bergerak maju begitu pantas dan rakyat merasi pelbagai nikmat pembangunan dan kemajuan.

Semua dasar-dasar tersebut mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dengan rakyatnya hidup harmoni, sejahtera, bersatu padu, setia, dedikasi dan patriotik terhadap tanah air.

Dalam melaksanakan segala program pembangunan, kerajaan sentiasa menekankan prinsip ‘keadilan sosial’ untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hampir semua dasar yang dilaksanakan membuka ruang seluas-luasnya kepada semua rakyat tanpa mengira kaum untuk memajukan diri dan negara.

Usaha untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum terkandung dalam Dasar Sosial Negara (DSN). Potensi diri rakyat dibangun dan perkembang di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan unsur-unsur bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil serta saksama.

Walaupun terdapat peruntukan hak istimewa kaum bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kaum-kaum lain tidak langsung dipinggirkan. Malah, dalam keadaan tertentu kehidupan mereka lebih baik daripada kehidupan kaum bumiputera di negara ini.

Setiap kerangka besar pembangunan nasional seperti DEB, Dasar Pembangunan Negara (DPN), Dasar Wawasan Nasional (DWN) dan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bersifat adil kepada semua kaum.

Kemajuan yang dikejar bukan menekankan pencapaian ekonomi semata-mata tetapi turut menekankan pencapaian bukan kebendaan (kerohanian) rakyat secara menyeluruh melalui kebebasan mengamalkan kepercayaan (agama) masing-masing dengan mematuhi lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang.

Walaupun wujudnya suara-suara pelampau yang cuba mengeruhkan dan menggugat perpaduan rakyat, namun ia berjaya dibendung dengan baik melalui penguatkuasaan undang-undang.

Kesepaduan rakyat menjadi tunjang utama dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup di negara ini.

Majoriti rakyat tidak termakan dakyah jahat golongan pelampau sama ada pelampau kaum ataupun pelampau agama yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman negara.

Rakyat dengan semangat yang tinggi terus bekerja keras dalam semua bidang kehidupan bagi membawa negara ke mercu kejayaan.

Selain perpaduan, kestabilan politik negara hasil dari permuafakatan parti-parti bersifat moderat berjaya memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara diganggu gugat.

Semua perjanjian-perjanjian yang dibuat kerajaan dengan negara luar sama ada dalam bidang ekonomi mahupun diplomatik mengambil kira kepentingan nasional bagi menjamin kedaulatan dan kemerdekaan negara terpelihara.

Politik negara yang stabil memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa, khususnya pelabur luar. Hasilnya, negara terus melangkah ke hadapan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

 

KERAJAAN perlu pulihkan semula kepercayaan rakyat supaya kemajuan dan kesejahteraan dapat dicapai.

 

 

BERBEZA

Hari ini, iaitu sejak lebih dua dekad, iaitu setelah kerajaan berubah dari moderat kepada kerajaan yang ghairah melakukan transformasi berfalsafahkan menyebabkan semangat liberalism suasana politik negara negara jauh berbeza berbanding ketika BN memerintah.

Bukannya kita tidak mahu perubahan tetapi biarlah ia jelas dan tidak menjejas struktur kekuatan sosiopolitik dan sosioekonomi yang ada.

Banyak dasar dan perkara cuba diubah atas nama kononnya reformasi tetapi jujur saya katakan ia menjadi carca marba. Banyak persoalan-persoalan negatif berbangkit dalam pentadbiran kerajaan semasa.

Persoalan-persoalan ini merangkumi beberapa isu penting, termasuk pengamalan politik yang kurang menepati semangat demokratik, kerajaan yang dilihat lemah dari segi teras kepimpinan Melayu, dominasi parti ekstrem dalam kerajaan yang menekan dan mengugut bagi memastikan agenda tertentu terlaksana, konsep Persekutuan yang semakin longgar serta penegakan perlembagaan dan undang-undang yang kurang selari dengan semangatnya sendiri.

Selain itu, dasar-dasar pembangunan yang tidak jelas dan tersasar, kos sara hidup yang tinggi serta kehidupan rakyat yang tidak menentu, perpaduan dan hubungan kaum yang mudah terjejas serta pencemaran sosial yang cenderung mengutamakan fahaman liberal dan menyimpang daripada semangat Rukun Negara turut menjadi kebimbangan.

Paling membimbangkan timbulnya isu atau persoalan tentang kemerdekaan dan kedaulatan negara dikatakan tergadai melalui perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan dakwaan penyerapan elemen mafia dalam agensi penguatkuasaan penting dalam kerajaan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempunyai kuasa yang begitu besar dalam melaksana tugasnya.

Semuanya ini harus diperbetulkan semula atau kerajaan perlu menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat melalui peti undi.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis Sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×